Membawang Hari Ini

Peminat pertikai kelayakan lizzy

Dia mencuri perhatian apabila menyanyikan semula lagu Havoc dan dimuat naik menerusi laman sosial YouTube. Tidak lama selepas itu, Elizabeth Tan bergelar penyanyi dan muncul dengan lagu Knock-Knock dan berjaya dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu 30 (AJL 30).

Awal kemunculan sehing­galah lagu itu terpilih ke pertandingan berprestij, ada segelintir individu mengecam Elizabeth atau Lizzy tidak pandai menyanyi dan lagu itu tidak layak ke pentas AJL 30.

Terbaru, Lizzy muncul dengan lagu Tabah, menggambarkan dia lebih kuat jika dibandingkan dua tahun lalu. Dia akui kerap kali tertekan berhadapan keadaan itu.

“Mungkin orang luar melihat ramai yang meminati dan menyukai suara saya. Hakikatnya, di Instagram ramai mengutuk suara saya. Mereka kata saya tidak pandai menyanyi dan tidak layak bergelar penyanyi.

“Mereka juga persoalkan kualiti lagu Knock Knock yang berjaya ke AJL 30. Memang banyak kali saya menangis apabila terbaca komen negatif seperti itu.

“Pernah terlintas untuk berhenti tetapi orang sekeliling seperti keluarga dan rakan-rakan banyak memberi semangat,” katanya.

Dipilih menjadi juri pertandingan Just Duet di Indonesia juga memberi semangat baru buatnya. Paling muda dan mempunyai karier nyanyian baru setahun jagung, namanya sekali lagi menjadi perbahasan dalam kalangan penyokong muzik di Indonesia.

Walaupun pernah membuat persembahan dalam program Music Everywhere, itu belum cukup kuat untuk memperkenalkan dirinya di negara itu.

Kali ini, Lizzy lebih bijak mengawal keadaan dan emosinya tidak mudah terpengaruh dengan situasi.

“Antara juri lain saya paling muda sekali. Sudah pasti ada rasa rendah diri dan kecil apabila duduk bersama Once Meke, Mei Chan dan Mike Mohede. Walaupun mereka tidak mempersoalkan kriteria saya, peminat program itu ada bertanya kelayakan saya sebagai juri.

“Memang cukup jelas perbezaan saya dengan juri lain dan sudah menjadi hak mereka untuk rasa tidak berpuas hati. Dalam dua episod pertama, ramai yang kurang yakin dengan diri saya. Saya sendiri pun gementar apatah lagi orang lain.

“Tapi semuanya berjalan lancar dan akhirnya ramai yang menyokong dua peserta yang bernaung di bawah saya. Walaupun awalnya ada yang kurang selesa dengan pemilihan saya sebagai juri, kemenangan Yeshua menambah satu lagi kejayaan dalam karier saya,” katanya.

Kata Lizzy, dia tidak menganggap kemenangan itu membuktikan keupayaan dan mengatakan dirinya hebat.

Katanya, dia terima tawaran menjadi juri kerana ingin belajar.

“Ketika ditawarkan kerusi juri, saya tidak terus terima walaupun ia kelihatan sebagai peluang keemasan untuk menembusi pasaran Indonesia.

“Saya meminta pendapat keluarga, rakan-rakan serta syarikat pengurusannya. Saya sedar akibatnya andai menerima tawaran itu tetapi saya mengambil peluang itu dengan hati terbuka kerana ingin memperbaiki mutu nyanyian.

“Kejayaan itu cuma kecil, paling penting saya belajar banyak perkara dari pertandingan itu,” katanya.

Lizzy sedar pasti akan timbul tidak puas hati kerana dia juri paling muda dan baru saja menceburi bidang seni pada 2014. Bagaimanapun, saya terima agar saya dapat belajar sesuatu.

“Setiap minggu juri akan berduet dengan peserta yang bernaung di bawah mereka. Bayangkan setiap minggu saya harus menyanyi dengan dua peserta. Ia agak meletihkan namun memberikan ilmu berharga,” katanya.

Antara cabaran dihadapi Lizzy adalah perbezaan bahasa. Katanya, walaupun bahasa itu kedengaran hampir sama namun ada komunikasi antaranya dengan peserta di bawahnya agak terhad.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana Melissa dan Yeshua boleh berbahasa Inggeris. Walaupun tidak fasih, itu sudah cukup membantu agar mereka dapat berbincang mengenai persembahan mereka.

Katanya, dia sudah mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan seorang artis Indonesia menerusi lagu baru. Buat masa ini, dia enggan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenainya.

“Saya harap ia akan berjalan dengan lancar. Apa pun, saya hanya akan bercerita mengenai projek ini apabila ia sudah siap dirakamkan,” katanya.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");