Kuala Lumpur: Hanya tinggal satu lagi kejohanan yang harus diharungi pasangan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying iaitu Terbuka Taiwan sebelum mempersiapkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016.
Menurut jurulatih beregu campuran negara Chin Eei Hui, selepas mara ke separuh akhir Terbuka Australia ming
gu lalu beliau mahu momentum itu dapat diteruskan pada Terbuka Taiwan.
“Saya gembira mereka mara hingga ke separuh akhir di Australia dan secara keseluruhan mereka sudah memberikan aksi terbaik walaupun tidak dapat ke saingan akhir,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Jelasnya, untuk Terbuka Taiwan beliau mahu anak buahnya meneruskan rentak kecemerlangan kerana ia kejohanan terakhir sebelum mereka melakukan persiapan lebih rapi bagi Olimpik Rio Ogos ini.
“Saya mahu mereka segera menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang di Taiwan dan sudah tentu saya mengharapkan mereka beraksi baik sama seperti di Australia.
“Di Olimpik nanti saya mahu mereka fokus satu demi satu perlawanan kerana semua yang layak adalah pasangan hebat dari setiap negara,” kata bekas pemain beregu wanita negara itu.
Eei Hui berkata, buat masa ini beliau mahu anak buahnya sentiasa fokus dalam latihan dan mengakui Peng Soon-Liu Ying perlu bekerja keras untuk memantapkan kemahiran serta kekuatan mental.
“Saya juga mahu mereka mahir dengan taktikal yang kami terapkan,” kata Eei Hui.
-harian metro