Berita Hari Ini

Penjenamaan semula TVET perlu tumpu penyelidikan

PUTRAJAYA – Penjenamaan semula Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu memberi tumpuan kepada aktiviti penyelidikan dan bukan hanya kepada penawaran program baharu sahaja.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, beberapa negara maju seperti Korea Selatan, Jerman dan Australia yang menubuhkan pusat penyelidikan dalam bidang TVET, telah membuktikan langkah itu dapat membantu pembangunan ekonomi negara tersebut.

“Kita juga seharusnya memikirkan kaedah yang sama bagi mewujudkan satu platform perkongsian ilmu penyelidikan yang dapat menggembleng usaha dalam merealisasikan aspirasi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya pada Simposium Universiti Teknikal Malaysia (MTU)-TVET 2016 di sini, hari ini.

Simposium yang dihadiri lebih 100 delegasi itu adalah anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dan empat MTU iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Ia bertemakan ‘Mempergiat dan melestarikan pembangunan TVET melalui penstrukturan, penjenamaan dan sinergi semula TVET.’

Mary Yap berkata, penjenamaan semula TVET, pembangunan program berasaskan industri dan pekerjaan, pembelajaran sepanjang hayat, minda usahawan, pemerkasaan perkongsian awam-swasta dan penyediaan platform penyelidikan adalah antara usaha yang perlu dilakukan secara kolektif.

Sementara itu, pengerusi bersama jawatankuasa induk simposium itu Prof Dr Jailani Md Yunos berkata, sudah tiba masanya sebuah pusat penyelidikan nasional TVET diwujudkan di negara ini.

Katanya pusat penyelidikan itu bukan sahaja perlu dibangunkan untuk tujuan ilmiah, malah boleh memainkan peranan menentukan hala tuju ekonomi negara.

“Pusat penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Korea untuk Pendidikan Vokasional dan Latihan (KRIVET) dan Institut Persekutuan untuk Pendidikan Vokasional dan Latihan (BIBB) di Jerman banyak membantu pembangunan negara tersebut.

“Perkara ini sangat relevan dengan pembangunan ekonomi negara dan cadangan ini juga akan dibincangkan dalam simposium ini,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");