BAGAN SERAI: Persimpangan bertingkat Alor Pongsu di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) secara rasminya telah beroperasi sepenuhnya hari ini.
Persimpangan bertingkat tersebut menghubungkan akses terus dari kawasan Alor Pongsu, Bagan Serai dan Selama bagi memasuki Lebuhraya Utara Selatan.
Ia telah dirasmikan secara bersama oleh Menteri kerja Raya Malaysia Datuk Sri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini.
Persimpangan bertingkat Alor Pongsu ini terletak di KM181.4 di antara Persimpangan bertingkat Bukit Merah dan Persimpangan bertingkat Bandar Baharu di Lebuh Raya Selatan dengan kos pembinaan sekitar RM100 juta.
Menurut Zambry, pelaksanaan ini menjadi impian buat peduduk di kawasan sekitar termasuk juga bagi negeri Perak amnya.
“Kawasan sekitar juga dapat dibangunkan dengan lebih terancang selaras dengan perancangan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan Lembah Beriah satu lagi kawasan pertumbuhan baru di negeri ini.
Malah Zambry turut menyatakan keyakinan bahawa ianya dapat membantu melancarkan proses pertumbuhan baru dikawasan ini.
“Ia bukannya projek terbengkalai namun ianya projek yang ditunggu apabila setiap kali PRK malah Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi projek ini,” katanya lagi dalam satu sidang media sejurus selepas merasmikan Persimpangan bertingkat Alor Pongsu sebentar tadi.
Dalam pada itu, Kampar bakal menjadi lokasi seterusnya untuk pembinaan persimpangan bertingkat di negeri ini.
Terdahulu, persimpangan Bertingkat ini dilengkapi dengan Tol Plaza (8 lorong iaitu empat lorong arah keluar dan empat arah masuk).
Reka bentuk Persimpangan bertingkat ini adalah jenis trumpet dan disambungkan ke Jalan Bagan Serai-Selama Perak.
Pada masa kini pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari utara perlu melalui Persimpangan Bandar Baharu di KM175.46 manakala pengguna dari selatan pula perlu melalui Persimpangan Bukit Merah di KM193.80 untuk menuju ke Alor Pongsu serta kawasan sekitarnya.
Menerusi pembukaan Persimpangan bertingkat ini ia dijangka dapat memberikan penjimatan masa perjalanan dari arah Utara dan Selatan ke Alor Pongsu sekaligus masa perjalanan dijimatkan dari 45 minit kepada 10 minit.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan media mengumumkan bahawa pembukaan dan kutipan tol di Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu, Lebuhraya Utara Selatan akan dilaksanakan berkuatkuasa mulai 7 Jun bermula jam 10 malam ini.