KUALA KANGSAR:Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini mengumumkan pemberian insentif bantuan khas sebanyak RM194 juta buat pekebun kecil seluruh Malaysia.
Bantuan khas termasuk berikutan kejatuhan harga getah yang dialami para pekebun kecil.
Seramai 388,111 orang pemilik, pengusaha serta penoreh getah bakal memperolehi insentif bantuan tersebut yang diagihkan bermula hari ini.
Sementara itu, bagi tahun 2016 sahaja seramai 307,770 pekebun kecil yang memiliki kebun sendiri layak menerima bantuan manakala seramai 80,000 yang tidak mempunyai kebun sendiri iaitu penoreh getah turut beroleh manfaat tersebut.
Menurut Najib,setiap pekebun kecil yang layak akan menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang mulai hari ini.
“Ini bukanlah kerana pilihanraya kerana ia telah dibuat sejak tahun 2013 dan ini merupakan tahun ketiga pemberian sumbangan,” katanya dalam majlis penyampaian Bantuan Khas kejatuhan harga getah di Dewan Jubli di sini hari ini.
Jelasnya ia adalah berkaitan soal kebajikan kepada masyarakat luar bandar.
“Kawasan luar bandar merupakan penyokong tegar kepada kerajaan.
“Jangan termakan dengan dakyah pembangkang di dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar ini kita masih mampu membela rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya lagi, rakyat perlu memahami pelbagai situasi dan perkara yang berada di luar kawalan dan kuasa kerajaan seperti kejatuhan harga minyak dan ekonomi dunia yang tidak menentu.
“Saya tidak sanggup melihat orang kampung berada dalam keadaan susah,” katanya.