KOTA BHARU – Kegiatan licik seorang lelaki yang merupakan ahli Geng Ketereh giat menjalankan kegiatan pengedaran dadah tumpas selepas berjaya ditahan bersama18,000 biji pil kuda bernilai RM450,000 di Lemal, Pasir Mas, di sini hari ini.
Remaja berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dalam Ops Tapis Khas kira-kira jam1.30 pagi.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, suspek ditahan di hadapan sebuah kedai di Kampung Lemal, Pasir Mas dan hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan mengandungi pil kuda terbabit.?
“Dengan kejayaan menangkap suspek itu, kita telah melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang didalangi oleh satu kumpulan yang dikenali Geng Ketereh ini.
“Sindiket itu dipercayai merekrut remaja berusia 18 tahun hingga 25 tahun untuk menjadi pengedar dadah kecil-kecilan sejak enam bulan lalu,” katanya pada media dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini pagi tadi.
-Sinar Harian