KUALA KANGSAR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar bukannya satu paksaan.
Jelasnya, perkara yang dibangkitkan oleh beberapa pihak itu, termasuk pihak pembangkang, adalah satu bentuk ‘reverse psychology’ yang digunakan oleh pihak-pihak tersebut.
“Tak ada siapa paksa. Saya terlibat mengumumkan nama beliau dan sebelum itu saya telah berjumpa dengan beliau. Tidak ada paksaan.
“Ini adalah satu ‘reverse psychology’. Memang orang yang bercakap itu tidak tahu perjumpaan dan persetujuan itu adalah dari calon berkenaan,”ujarnya dalam sidang media selepas majlis ramah mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ulu Kenas, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau turut berkata, isu calon tidak muncul berkempen sepatutnya tidak perlu ditimbulkan lagi.
“Ianya telah diperjelaskan oleh Mufti Perak dan juga diikuti dengan penjelasan Menteri Besar dan jentera BN.
“Tak ada sebab perkara ini untuk dijadikan isu yang berpanjangan. Calon kita, Datin Mastura, mematuhi hukum yang telah ditentukan,”ujarnya.
Justeru itu, beliau turut menasihati mana-mana pihak yang menimbulkan isu berkenaan agar kembali kepada ajaran agama Islam yang sebenar.
“Saya fikir elok kita kembali kepada ajaran agama sebab politik dan kedudukan jawatan ini cuma sementara tetapi ajaran agama itu kekal,”tegasnya.