KUALA KANGSAR: Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar disifatkan antara yang terbaik dalam sejarah di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia disebabkan oleh kematangan politik yang lebih baik daripada sebelum ini.
Selain itu, katanya, ia juga hasil daripada usaha gigih yang dilakukan oleh pihak polis terutamanya yang ditempatkan di PRK bagi kedua-dua parlimen tersebut.
“Saya rasa mereka telah melaksanakan tugas dengan baik dan apa yang paling penting adalah mereka menjalinkan kerjasama dengan pemimpin politik bagi setiap parti termasuklah pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat dan mengadakan lawatan ke Markas Taktikal (Martek) PDRM Bukit Chandan di sini, hari ini.
Turut hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abd Rahim Hanafi.
Ujarnya, sehingga kini, hanya terdapat 11 laporan polis yang dibuat di Kuala Kangsar dimana kertas siasatan bagi lima daripadanya telah dibuka.
“Kita harap ini dapat dikekalkan sehingga 18 haribulan dan tarikh sebelum itu.
“Saya ingin mengulangi buat kali keempat bahawa telah sampai tahap kematangan politik di Malaysia dan ini harus dipertahankan oleh semua parti politik.
“Saya harap bukan hanya sekadar pematuhan terhadap akta SPR ataupun kanun keseksaan ataupun akta polis tetapi lebih daripada itu adalah hati dan nurani mesti menghormati secara matang, sistem demokrasi yang berjalan dengan baik di Malaysia ini,” katanya lagi.