Perak Hari Ini

Rayu Kembalikan Perkhidmatan Ambulans Klinik Kesihatan Alor Pongsu

ALOR PONGSU : Hampir 5,000 penduduk di sekitar pekan Alor Pongsu mengharapkan agar perkhidmatan ambulans 24 jam di Klinik Kesihatan Alor Pongsu dikembalikan semula demi kepentingan orang ramai.

Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Alor Pongsu, Mat Radzi Ali berkata, gesaan untuk mengembalikan semula ambulans itu dibuat berikutan satu-satunya ambulans yang dimiliki oleh klinik itu telah dilupuskan dan sehingga kini, ianya masih belum digantikan.

Mat Radzi Ali“Klinik kesihatan ini memberi perkhidmatan kepada lebih lima kampung di sekitar Alor Pongsu dan kini terpaksa bergantung kepada kekosongan ambulans klinik kesihatan yang berdekatan untuk digunakan bagi keperluan pesakit.

“Masalah timbul apabila berlaku kes kecemasan, ambulans bantuan akan dipanggil dari Klinik Kesihatan Bagan Serai dan Klinik Kesihatan Telok Medan yang jaraknya dalam lingkungan 15 hingga 20 kilometer dan memerlukan masa sekitar setengah jam untuk tiba di sini,”ujarnya.

Katanya lagi, terdapat sesetengah kes dimana mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan orang ramai berikutan ketiadaan ambulans atau ambulans lambat tiba di lokasi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai kepada 200 Fakir Miskin yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali.

Mat Radzi turut berkata, isu ketiadaan ambulans khas untuk kegunaan Klinik Kesihatan Alor Pongsu sudah berlarutan sejak enam bulan lalu dan kini pihaknya telah menerima banyak aduan penduduk berkaitan isu tersebut terutamanya yang melibatkan ibu-ibu mengandung.

“Apabila perkhidmatan ambulans khas untuk kegunaan klinik kesihatan tiada, mana-mana penduduk yang hendak melahirkan anak, waris mereka bukan sahaja diminta menggunakan kenderaan sendiri untuk menghantar isteri ke hospital.

“Saya turut diberitahu tiada khidmat jururawat iringan untuk memantau keadaan ibu bersalin berkenaan sehingga ke hospital.

“Perkara ini amat membimbangkan penduduk di sini yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan tidak memiliki kenderaan sendiri,”ujarnya.

Dr Noor Azmi(lima kiri) meraikan 200 golongan fakir miskin Dun Alor Pongsu menerusi pemberian sumbangan barangan keperluan dan wang tunai di pekarangan Masjid Jamek Matang Jelutong, semalam

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian dengan segera oleh pihak berwajib.

Jelasnya lagi, beliau juga bersedia membawa perkara ini ke kamar persidangan khas kamar kecil Parlimen sebaik persidangan Parlimen bermula pada Oktober ini.

“Saya berharap perkara ini disediakan oleh kerajaan itu sememangnya menjadi tumpuan penduduk.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja digunakan oleh penduduk pekan Alor Pongsu, malah penduduk kampung sekitarnya,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");