Sukan Hari Ini

Rezeki Chong Wei

Kuala Lumpur: Ketiadaan Chen Long di Terbuka Indonesia membuka peluang cerah buat jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei untuk merampas semula kedudukan pemain nombor satu dunia.

Chen Long yang juga pilihan utama kejohanan sepatutnya turun beraksi pusingan pertama kejohanan bertaraf Siri Super Perdana ini, namun menarik diri seterusnya memberi laluan buat pemain tuan rumah, Sony Dwi Kuncoro ke pusingan kedua.

Jika Chong Wei berjaya merangkul gelaran juara di Istora Gelora Bung Karno hujung minggu ini dia mampu meraih semula takhta nombor satu dunia sebelum temasya Sukan Olimpik Rio 2016 berlangsung Ogos ini.

Chong Wei akan turun beraksi pusingan pertama menentang pemain India, Sameer Verma hari ini bagi memburu gelaran keenam Terbuka Indonesia.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu sekarang ini mengumpul 88,953 mata, ketinggalan 3,241 mata kepada Chen Long.

Kali terakhir dia menduduki tangga teratas ranking dunia pada Disember 2014.

Seandainya berjaya muncul juara di Jakarta, Ahad ini, ketua pasukan Piala Thomas 2016 itu akan meraih tambahan 11,000 mata.

Penghalang utama dalam misi bergelar juara kali ini dijangka hadir menerusi juara dunia lima kali, Lin Dan dengan kedua-duanya dijangka bertemu pada final nanti.

Chong Wei sebelum ini menyifatkan Terbuka Indonesia yang menjadi salah satu kejohanan terakhirnya selain Terbuka Australia, minggu depan, penting bagi memastikan dia kekal dalam kelompok dua terbaik dunia menjelang Olimpik Rio.

Pemain pilihan kedua kejohanan itu akan bertemu sama ada rakan senegara, Goh Soon Huat atau Ng Ka Long dari Hong Kong di pusingan kedua jika menundukkan Verma hari ini.

Empat pemain yang dijangka menjadi halangannya di suku akhir ialah Han Kristian Vittinghus (Denmark), Wang Zhengming (China), Son Wan Ho (Korea Selatan) dan Chou Tien Chen (Taiwan).

Berdasarkan undian serta prestasi semasa halangannya di separuh akhir ialah pilihan keempat dari Denmark, Viktor Axelsen atau wakil tuan rumah, Tommy Sugiarto.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");