Membawang Hari Ini

Seimbangkan lakonan, bisnes

Peningkatan kos sara hidup menjadi isu yang tidak berkesudahan sehingga menjadi dilema yang perlu dihadapi sebahagian besar individu di negara ini.

Golongan selebriti juga tidak terkecuali berdepan permasalahan berkenaan.

Bagi pelakon yang popular menerusi drama Hidayahmu Ramadan, Aeril Zafrel, dia perlu mempunyai pendapatan sampingan iaitu perniagaan bagi menjamin masa depan keluarganya.

Aeril berkata, platform sebagai seorang anak seni seharusnya digunakan sebaik mungkin agar manfaatnya dapat dikongsi bersama peminat.

“Alhamdulillah selepas kelahiran anak kedua tahun lalu, saya dan isteri nekad untuk lebih fokus dalam dunia perniagaan. Kami sedang mengatur strategi untuk menyeimbangkan karier lakonan dan bisnes perniagaan diusahakan supaya dapat bergerak seiring.

“Saya tidak akan sesekali memperlahankan karier lakonan kerana kerjaya itu adalah jiwa saya, tetapi pada masa sama saya perlu mempunyai pendapatan sampingan untuk menampung kehidupan.

“Sebagai selebriti, kita perlu bijak mencari duit dan menggunakan peluang yang ada,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Siapa sangka, perniagaan pakaian yang diusahakan Aeril dan isterinya yang juga pelakon Wawa Zainal tidak lama dahulu berjaya memikat hati peminatnya dengan koleksi pakaian lelaki dan wanita.

Terbaru, pelakon itu juga muncul dengan perniagaan produk kanta lekap.

“Saya bersyukur kerana perniagaan itu juga mendapat sambutan. Dalam tempoh sebulan 7,000 pasang berjaya dijual,” katanya.

Terus belajar jadi suami dan bapa yang baik

Menyentuh mengenai kehidupan peribadinya selepas lima tahun melayari bahtera rumah tangga bersama Wawa Zainal dan dua permata hati, Ahmad Fakharuddin Atta dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa, Aeril mengakui lebih bertanggungjawab dalam menguruskan hal keluarganya.

“Saya sentiasa berdoa agar dapat mendidik anak dengan baik. Selain itu, saya juga sedang mempelajari ilmu kekeluargaan iaitu mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Bagi saya pembelajaran ini penting kerana selepas lima tahun berkahwin, saya perlu banyak belajar untuk menjadi suami dan bapa yang baik,” katanya yang sentiasa memegang prinsip saling mempercayai antara satu sama lain sebagai kunci kebahagiaan rumah tangganya.

Dalam perkembangan lain, pelakon itu sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Nahu Rindu.

Menerusi drama itu, Aeril membawa dua watak iaitu seorang lelaki Islamik dan nakal bernama Fatih.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");