Membawang Hari Ini

Sinar bahagia 2 insan malang

Rasa simpati terhadap rakan yang mempunyai anak menghidap autisme membuka pintu hati penerbit dari Dermaga Seni Sdn Bhd, Noorhayati Yusoff untuk menghasilkan telefilem Nana.

Biarpun penghidapnya ada kekurangan, tetapi bagi mereka yang mengetahui cara menjaga dan merawatnya, pasti dapat berasakan keistimewaan kanak-kanak itu.

Noorhayati, 53, berkata, hatinya mudah tersentuh apabila melihat kanak-kanak terpaksa menghadapi ujian hidup.

“Mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Sebagai ibu bapa pula, mereka mesti kuat dan tabah untuk mengharungi dugaan itu. Bukan saja naluri keibuan saya mudah terasa melihat anak kecil yang menderita tetapi apa saja tragedi yang berlaku dalam masyarakat termasuk mangsa banjir kehilangan nyawa dan harta benda turut meruntun perasaan saya.

“Lantas sebagai penerbit, saya mengambil kesempatan itu menghasilkan drama yang dekat dengan jiwa masyarakat. Apabila mereka melihat jalan cerita yang dekat di hati mereka, saya yakin sedikit sebanyak pasti meninggalkan kesan dalam diri mereka,” katanya.

Norhayati berkata, Nana mengisahkan anak yang kurang bernasib baik menghidap sejenis sindrom dipanggil Asperger.

Nasib malangnya bertimpa dan takdir Allah SWT turut meragut kebahagiannya apabila dia kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya.

“Tinggallah dia sebagai anak yatim piatu untuk mengharungi masa depannya yang tidak menentu,” katanya.

Ditanya sama ada Nana ada persamaan atau diilhamkan daripada filem Reda lakonan Namron, Norhayati berkata, Nana tidak ada kena-mengena dengan filem itu.

“Barangkali kisah diutarakan hampir sama tetapi pengarah Nana iaitu Deen Salih yang juga penulis skrip telefilem itu memberi olahan berbeza berbanding filem itu.

“Saya hantar skrip Nana kepada RTM sejak tahun lalu dan baru-baru ini ia diluluskan. Jadi rasanya memang tiada persamaan langsung dengan Reda,” katanya.

Menurutnya, dia akan terus menerbitkan cerita berkisar kemasyarakatan kerana naskhah itu kena dengannya.

“Selaku penerbit saya ada tanggungjawab terhadap penonton, tidak banyak walaupun sedikit dapat menitipkan sedikit kesedaran dan teladan kepada mereka,” katanya.

Telefilem itu ditayangkan di TV2, Ogos ini.

Ia dibintangi Amerul Affendi, Norlia Ghani, Fazren Rafi, Zara Sophia, Pakcu Raja Lawak dan Man Belon.

Sinopsis

Nana berkisar mengenai dua insan dari dunia berbeza yang kehilangan insan tersayang akibat ketentuan takdir.

Nana, anak kecil istimewa yang menghidap sindrom Asperger membesar tanpa kasih sayang ibu dan bapa yang meninggal dunia akibat kemalangan.

Dalam kejadian lain, seorang jutawan ternama bernama Haris yang bakal bergelar bapa kehilangan isteri yang ketika itu sarat mengandungkan cahaya mata sulung mereka.

Kehilangan isteri dan bayi membuatkan kehidupannya terumbang-ambing dan mula hilang arah.

Percaturan takdir sama yang meragut kebahagiaan Nana dan Haris namun takdir juga menemukan mereka berdua.

Pertemuan dua insan malang itu memberikan sinar kebahagiaan kerana dengan kehadiran Nana dapat mengubat rindu Haris pada isteri dan bayinya yang sudah pergi. Sementara kehadiran Haris dalam hidup Nana mengurangkan rasa rindunya terhadap arwah ibu bapanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");