KUALA KANGSAR : Sinar baharu menanti buat empat sekeluarga apabila kediaman usang mereka di Kampung Lempor, di sini mendapat perhatian oleh calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid.
Anak kedua Mastura, Wan Imar Izzat berkata, beliau akan berbincang bersama ibunya untuk melihat bagaimana pihaknya boleh membantu keluarga tersebut menerusi saluran yang lebih banyak dan lebih cepat.
Sharuddin Bahari 39, berkata, beliau sudah menetap di rumah usang tersebut sejak hampir dua tahun lalu.
“Saya sudah duduk di sini sejak setahun lalu di tanah orang tua saya. Sebelum ini saya tinggal di rumah ibu saudara saya di Kampung Pauh, tetapi disebabkan mereka ingin menetap semula di situ, kami kena berpindah.
“Kami mengharapkan agar pembinaan rumah yang lebih selesa untuk kami sekeluarga dapat dipercepatkan secepat mungkin,”ujarnya ketika ditemui di rumahnya.
Sharuddin menetap di rumah tersebut bersama isterinya, Asnor Baizura Abdullah 34, dan dua lagi anak mereka.
Beliau sebelum ini bekerja sebagai juruteknik di salah sebuah syarikat namun terpaksa berhenti kerana patah tulang belakang.
“Kini saya bekerja kampung dan cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Cuma untuk membina rumah yang lebih selesa, saya tidak mampu.
“Sebelum ini saya ada menerima tawaran untuk menerima bantuan bulanan dari Baitulmal, tetapi kami menolak kerana kami menginginkan rumah yang selesa,”ujarnya sambil menambah bahawa rumah yang didudukinya itu dibina sendiri.
Beliau turut berkata, untuk kegunaan eletrik, beliau menggunakan sambungan dari rumah adiknya manakala menggunakan air telaga untuk kegunaan harian.
Sementara itu, Wan Imar Izzat berkata, beliau akan berbincang bersama ibunya untuk membantu keluarga tersebut.
Calon BN bagi PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid tidak dapat keluar bertemu masyarakat Kuala Kangsar dalam tempoh berkempen kerana masih dalam tempoh eddah.
“Kami akan melihat bagaimana kami boleh membantu keluarga ini menerusi saluran yang lebih banyak dan lebih cepat.
“Tambahan pula, kelulusan sudah ada dan kami akan cuba untuk mempercepatkan urusan ini dengan memajukan perkara ini ke pihak-pihak berkaitan,”ujarnya.
Beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 daripad Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk keselesaan keluarga tersebut pada ketika ini.
Turut hadir ialah Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin.