Jenayah

Sindiket seludup gas subsidi lumpuh

TANJONG KARANG – Tindakan licik sindiket penyeludupan gas petroleum cecair (LPG) yang berselindung di sebuah kilang kosong tidak bernama di Lorong Sungai Gulang-Gulang (SGG) 7/3, di sini berjaya diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu, kelmarin.

Dalam operasi jam 1.45 tengah hari itu melibatkan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) Jabatan Peguam Negara.

Ketua Seksyen Penguatkuasa KPNDKK Selangor, Basaruddin Mohyiddin menjelaskan, hasil intipan lima hari berjaya mengesan aktiviti sindiket terbabit di sebuah stor tidak berlesen di belakang kilang yang dipercayai baru beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, hasil serbuan mendapati stor haram terbabit menjadi tempat pemindahan (decanting) gas dari tong domestik bersubsidi yang berkuantiti 14 kilogram (kg) ke dalam tangki berkapasiti 8,000kg sehingga 30,000kg sebelum dipindahkan ke tong gas 50kg untuk kegunaan industri.

“Kaedah decanting yang diguna pakai adalah cara moden menggunakan pam dan hos penyambungan terus masuk ke dalam tangki sebelum dipindahkan ke dalam tong gas 50kg yang berkemungkinan dijual kepada pengusaha yang memerlukan bekalan pukal.

“Sindiket ini juga membelanjakan RM2 juta untuk penyediaan prasarana yang berteknologi tinggi dan mampu memindahkan gas bersubsidi dengan berskala besar serta cepat menggunakan sumber bekalan elektrik,” katanya.

Basaruddin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebuah premis berlesen (pemborong) di Sekinchan disyaki terlibat membekalkan tong gas bersubsidi untuk kegunaan sindiket sebelum membeli semula tong gas 50kg yang berisi untuk dijual pasaran setempat.

“KPDNKK turut merampas 288 tong berisi gas 50kg dengan nilai RM120,960, 174 tong gas berisi 14kg dengan nilai RM21,750 dan 62 tong kosong 50 kg dengan nilai RM15,500.

“Tiga tangki bernilai RM130,000, gas di dalam tangki berkapasiti lapan tan bernilai RM17,875, dua forklift bernilai RM20,000, dua lori bernilai RM60,000, genset generator bernilai RM40,000 dan sistem decanting bernilai RM500,000.

“Hasil keseluruhan rampasan ini adalah RM926,085 sekali gus menjadi operasi terbesar tahun ini manakala 12 pekerja termasuk pemandu lori warganegara tempatan masih ditahan untuk siasatan,” katanya pada sidang media semalam.

Basaruddin berkata, bagi stor haram akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan, Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barang kawalan di tempat tidak berlesen.

“Manakala bagi stor berlesen, kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Sekyen 9(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan 9(2) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Peraturan 13(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 atas pelbagai kesalahan berkaitan.

“Jika disabitkan kesalahan, syarikat terbabit boleh dikenakan tindakan tidak melebihi RM2 juta dan pemilik atau pengarah boleh dikenakan tindakan tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Anggaran subsidi yang disyaki disalahgunakan adalah lebih RM250,000 dan sebanyak 45 akaun beberapa bank milik sindiket terbabit dengan jumlah RM7juta dibekukan untuk tujuan siasatan,” katanya.

Menurutnya, operasi itu adalah kesinambungan beberapa susulan kes yang dilaksanakan sejak Januari lalu melibatkan beberapa kawasan di Perak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.

“Jumlah rampasan dalam operasi bersama NRRET setakat ini adalah RM5 juta manakala jumlah wang yang dibekukan bagi tujuan siasatan adalah hampir RM30 juta.

“KPDNKK bersama NRRET memandang serius kes berkaitan penyelewengan LPG kerana mengakibatkan kerugian besar buat kerajaan dari segi pembayaran subsidi kerana dieksploitasi pemborong berlesen yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");