Jenayah

Tergantung di kipas siling

KUALA PILAH – Seorang warga emas ditemui tergantung di kipas siling biliknya dengan leher terjerut tali buaian di sebuah rumah di Kampung Baru Dangi, petang kelmarin.

Menurut saudara keluarga berkenaan yang namanya enggan dikenali, lelaki berusia 90 tahun itu ditemui dalam keadaan tergantung oleh anaknya ketika menziarahinya kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, lelaki itu mengalami kemurungan setelah kematian isteri empat tahun lalu dan kesunyian serta sukar tidur pada waktu malam.

“Ketika isterinya masih hidup, dia seorang yang periang, namun segalanya berubah sejak isterinya meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu.

“Anak-anak pernah cuba bawa dia pergi klinik tapi dia menolak. Akibatnya, dia sukar untuk tidur dan terpaksa makan pil setiap kali hendak tidur,” katanya.

Menurutnya, akibat tekanan dan kemurungan yang dialami, warga emas itu sering mengeluarkan kata- kata ‘ingin mati’ di hadapan anak- anaknya.

“Malah pada jam 3 petang sebelum kejadian itu, sekali lagi anaknya mendengar ayahnya beritahu ‘ingin mati’ dan menghalau anaknya pulang ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, bimbang dan curiga dengan perkara itu, anaknya kembali semula ke rumah ayahnya jam 6 petang dan terkejut bila melihat keadaan ayahnya tergantung di kipas siling sebuah bilik,” katanya.

Panik melihat keadaan itu, katanya, dia bersama suami serta dibantu jiran menurunkan warga emas itu sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Mohammad Abas ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa ditemui telah meninggal dunia oleh anaknya dan pasukan perubatan mengesahkan kematian lelaki berkenaan.

“Kematian tidak membabitkan unsur jenayah dan bedah siasat dilakukan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini hari ini (semalam) untuk mengetahui punca kematian,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");