Perak Hari Ini

Terkilan Kematian Bapa Dipolitikkan

KUALA KANGSAR : Anak kedua kepada Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Wan Imar Izzat Wan Mohammad Khair-il Anuar berkata, mereka sekeluarga terkilan apabila kematian bapa mereka itu dipolitikkan.

“Kami sebagai anak-anak kepada bapa yang telah meninggalkan kami, merasa terkilan dan terguris kerana isu begini dipolitikkan.

“Kami masih dalam proses memulihkan semangat, tetapi apabila isu arwah bapa kami dipolitikkan, kami sangat terguris hati dan berharap perkara ini tidak berlaku lagi,”ujarnya ketika ditemui selepas program MyVOC Jiwa Murni di Sekolah Kebangsaan Lempor di sini.

Turut hadir ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin dan adiknya, Wan Iskandar.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 10 penerima asnaf dan melahirkan penghargaan terhadap peranan MBM dalam usaha untuk meringankan beban mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, Wan Imar Izzat turut berharap agar semua pihak dapat menghormati dan tidak melemparkan pelbagai tohmahan kepada beliau sekeluarga.

Terdahulu, Nizar dilaporkan berucap dalam ceramah di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar malam Isnin mengaitkan nahas helikopter itu dengan zaman pentadbirannya di Perak yang didakwa dirampas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Nizar berkata, Najib dan Zahid tidak menghormati hak rakyat Perak yang telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu.

“Kebiadaban Najib dan Zahid merampas kerajaan Perak ini di bumi Kuala Kangsar, maka Allah jadikan di bumi ini juga PRK terpaksa diadakan.

“Supaya orang Kuala Kangsar mengajar mereka kerana kamu kurang ajar kepada pilihan rakyat, kamu berlaku jahat, zalim kepada rakyat Perak,” kata Nizar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");