Membawang Hari Ini

Tetap layan peminat

Namanya terus bertahan dan meniti di bibir peminat selepas lebih sedekad berkecimpung dalam bidang lakonan. Malah, pelakon jelita Rita Rudaini Mokhtar, 39, masih diberi kepercayaan memegang watak heroin hingga kini.

Namun, sebagai pelakon yang berstatus ibu kepada dua cahaya mata, Rita mengakui perlu bekerja keras untuk memberi kehidupan yang selesa buat Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

Justeru itu Rita nekad menceburi dunia bisnes sebagai jaminan masa depannya. Selepas muncul dengan produk minyak wangi dan penjagaan kulit, Rita kini bergelar pengusaha restoran pula.

Restoran miliknya, Rumah Kueh di Kota Damansara mula beroperasi sepenuhnya pada penghujung Mei lalu.

Ketika ditemui, Rita menzahirkan rasa syukur kerana selepas berdepan pelbagai ujian termasuk ditipu kontraktor akhirnya restoran yang dirancang selama setahun itu berjaya direalisasikan.

“Alhamdulillah, setakat ini Rumah Kueh mendapat sambutan memberangsangkan. Saya juga terharu kerana ramai peminat setia termasuk dari Brunei dan Singapura sanggup datang untuk menjamu selera ke restoran ini sekali gus memberi sokongan kepada saya.

“Walaupun penat seharian di dapur, saya tetap meluangkan masa jika ada peminat ingin bergambar ketika menjamu selera. Sebagai artis, inilah cara saya menghargai peminat yang menyokong karier seni sejak dulu,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini, Rita memperlahankan aktiviti seni kerana mahu fokus kepada restorannya itu.

“Saya hanya menghabiskan baki penggambaran drama yang sudah dibuat sebelum Ramadan. Antaranya telefilem Penjaga Garisan Itu Suamiku bergandingan dengan Fahrin Ahmad.

“Selebihnya, saya sibuk membantu cef dan kakitangan di restoran bagi memastikan operasi berjalan lancar setiap hari.

“Terus terang, saya cerewet soal makan dan pastinya ingin menjaga kualiti makanan yang disajikan kepada pelanggan. Saya juga berasa puas jika pelanggan menggemari makanan yang disediakan di restoran ini,” katanya.

Sesibuk mana pun dengan aktiviti seni, pelakon drama Ahli Mesyuarat Tingkap ini mengakui dia tidak akan lepas tangan dan menyerahkan semua urusan operasi restoran kepada pekerja semata-mata.

“Saya turut dibantu ahli keluarga terutama sepupu yang memantau operasi restoran ini setiap hari. Jika tidak terbabit dengan penggambaran, saya akan berada di restoran ini dari tengah hari sehinggalah jam 11 malam,” katanya.

Bufet sempena Ramadan

Rita berkata, dia memilih perniagaan berasaskan makanan kerana itu yang menjadi minatnya sejak dulu. Justeru, tidak hairanlah, restoran miliknya dinamakan Rumah Kueh bagi menonjolkan identiti masyarakat Melayu.

“Saya memang suka makan terutama kuih-muih tradisional Melayu. Di situlah bermulanya rancangan untuk membuka restoran ini. Menu yang disajikan juga adalah sajian kegemaran saya sendiri.

“Malah, saya akan merasai terlebih dulu setiap menu yang disajikan cef supaya benar-benar menepati cita rasa pelanggan,” katanya.

Sempena Ramadan juga, kata Rita, pihaknya juga mengadakan sajian bufet kepada pelanggan dengan harga serendah RM38.05 sen.

“Harga bufet ini sangat berpatutan. Antara kuih-muih tradisional Melayu yang disajikan di restoran ini ialah kuih seri muka, lepat pisang dan tepung pelita.

“Manakala menu berat yang disajikan ialah ayam percik, daging opor, asam pedas ikan pari, sambal udang, kari ayam, ikan bakar cecah air asam dan ayam bijan. Ada juga menu Barat seperti spageti disajikan kepada pelanggan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");