Membawang Hari Ini

Tidak salah berkongsi rezeki

Beberapa hari lalu, seorang pereka fesyen ternama mengeluarkan kenyataan mendakwa kehadiran selebriti dengan koleksi fesyen sendiri mengganggu pasaran pereka fesyen tempatan.

Penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza yang turut tampil dengan jenama fesyennya tersendiri, Creacion by Siti Nurhaliza (Creacion) ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, dia kurang bersetuju dengan pandangan itu kerana setiap orang ada cita rasa, kelebihan dan idea tersendiri.

“Namun, saya hormati pandangannya kerana setiap orang ada pendapat masing-masing,” katanya.

Menurut Siti, dunia perniagaan itu luas dan setiap orang yang ingin menceburi bidang ini tidak sepatutnya melepaskan peluang yang ada.

“Ramai rakan artis yang keluarkan jenama fesyen sendiri. Saya anggap itu rezeki masing-masing dan rasanya tidak salah untuk kita berkongsi rezeki,” katanya.

Siti berkata, dia juga mengambil pereka fesyen profesional untuk mereka koleksi yang ditampilkan.

“Saya tahu setakat mana kemampuan saya. Saya tidak tahu menghasilkan rekaan untuk koleksi pakaian, jadi saya memiliki pereka profesional yang mereka setiap pakaian itu.

“Namun, pada masa sama saya turut menyumbangkan idea untuk menambah baik beberapa ruang contohnya warna, potongan dan beberapa aksesori dalam rekaan,” katanya.

Siti sendiri mengakui, dia kini mula mendalami pelbagai ilmu dalam selok-belok dunia fesyen dan ia bukanlah semudah disangka.

“Selepas bekerja keras dan mula memperkenalkan jenama saya pada Mac lalu, saya bersyukur semuanya berjalan lancar. Sangat mudah untuk saya bekerja dengan pasukan yang sangat profesional.

“Kini, saya tahu betapa sukar dan mencabar untuk seseorang pereka memulakan rekaan daripada proses awal contohnya mencari material dan sebagainya, sehinggalah terhasilnya sesuatu koleksi,” katanya.

Ditanya mengenai kelebihannya sebagai selebriti dalam memajukan perniagaan, Siti menganggap itu sebagai kelebihan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi kepada semua yang turut memegang gelaran sama.

“Setiap selebriti ada pengikutnya tersendiri. Saya tidak nafikan, bergelar selebriti memberi sedikit kelebihan dalam membantu perniagaan dan lebih mudah untuk menarik perhatian ramai pembeli,” katanya. – Syafil Syazwan Jefri-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");