Berita Hari Ini

Timba ilmu pengekodan

Putrajaya: Program Coding@-schools mungkin dijadikan kurikulum wajib atau elektif dalam kalangan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, pihaknya mencadangkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, program berkenaan penting dan perlu diberi pendedahan awal kepada murid dalam memudahkan mereka memahami secara asas mengenai ilmu pengekodan (coding).

Menurutnya, di negara maju seperti Amerika Syarikat, program pengekodan turut menjadi satu daripada mata pelajaran yang dipelajari di sekolah kerajaan atau swasta.

“Apabila memasuki sekolah menengah dan universiti, mereka boleh memperluaskan lagi ilmu yang dipelajari ini.

“Program ini penting dalam menjadikan mereka lebih berdaya saing dan serba boleh apabila memasuki alam pekerjaan kerana ilmu ini sangat berguna terutama yang menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Cabaran Kod Kebangsaan 2016 iaitu pertandingan di bawah Program Coding@schools di sini, semalam.

Dr Mohd Irwan Serigar berkata, pada tahun ini, 3,000 murid dari 100 sekolah rendah terbabit dengan program itu dan beliau menjangkakan ia bertambah pada tahun depan.

Malah, katanya, kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan program berkenaan sepanjang tahun ini.

Pada masa sama, menurutnya, ilmu pengekodan digunakan dalam semua bidang perniagaan sama ada penerbangan, automotif, pembinaan serta perniagaan memandangkan industri itu memerlukan penggunaan aplikasi.

“Jika tidak ada aplikasi, sesuatu syarikat itu tidak akan berdaya saing termasuk di peringkat antarabangsa dan sebagai negara terbuka, kita perlu ada jaringan di seluruh dunia bagi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Mengenai Cabaran Kod Kebangsaan 2016, beliau berkata, pertandingan itu berlangsung semasa penganjuran Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru pada 14 hingga 18 Ogos depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Katanya, persidangan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta dihadiri wakil dari negara lain.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");