Sukan Hari Ini

VIiking tiada tiket

Nice, Perancis: Kira-kira 3,000 penyokong Iceland berada di Stadium Nice untuk aksi Euro 2016 menentang England semalam tetapi beribu-ribu lagi penyokong mereka berada di pusat peranginan Mediterranean sambil menyanyikan lagu-lagu Viking.

Seperti mana penyokong Ireland yang terpaksa mendapatkan tiket melalui ‘pasaran gelap’ untuk menyaksikan pasukan mereka bertemu Perancis kelmarin, situasi sama juga berlaku kepada penyokong Iceland.

Perkara ini berlaku kerana tiada siapa sangka mereka mampu mara hingga sejauh ini.

Demam Euro amat dirasai rakyat Iceland yang mempunyai 330,000 penduduk. Presiden Gudni Johannesson yang baru memenangi pilihan raya Sabtu lalu, berkata keutamaannya ketika ini adalah menyaksikan perlawanan itu.

Sewaktu ditanya sebelum keputusan rasmi diumumkan, apakah tugas pertamanya jika dilantik, profesor sejarah itu berkata: “Pergi ke Perancis pada Isnin dan menyaksikan Iceland menentang England.”

Begitupun, Johannesson mempunyai peluang lebih baik untuk mendapatkan tiket saat akhir bagi menonton aksi penting itu berbanding rakyat negaranya ketika stadium berkenaan hanya mempunyai 35,000 kapasiti.

Tetapi situasi itu tidak akan menghalang penyokong Iceland. Ini kerana terdapat kira-kira 10,000 penyokong Iceland pada setiap perlawanan peringkat kumpulan dan jumlah itu dijangka tetap sama apabila aksi kalah mati berlangsung di Nice.

Bintang Iceland Gylfi Sigurdsson sebelum ini mengkritik sistem pengedaran tiket UEFA terutama apabila memasuki peringkat 16 terakhir itu.

“Kami mahu agihan tiket yang lebih buat rakyat Iceland,” kata Sigurdsson, kelmarin.

“UEFA perlu mencari jalan penyelesaian bagi menyelesaikan masalah pengedaran tiket untuk aksi kalah mati ini,” kata pemain tengah Swansea City berusia 26 tahun itu.

“Mungkin lebih baik jika kami mendapat peruntukan 10,000-15,000 tiket kerana sokongan yang bertambah itu dapat meningkatkan motivasi pasukan,” katanya.

Pegawai kerajaan Perancis berkata, dianggarkan sekitar 25,000 penyokong England akan berada di Nice.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");