Berita Hari Ini

Wujudkan kempen #rayatanpamercun untuk pupuk kesedaran

KUALA LUMPUR – Satu kempen khas menggunakan hashtag #rayatanpamercun harus diwujudkan bagi memberi kesedaran tentang bahaya penggunaan mercun terutama setiap kali menjelang musim perayaan.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak berkata, dengan adanya kempen tersebut, bilangan insiden ketika bermain mercun dapat dikurangkan.

“Media tempatan iaitu media sosial, media cetak dan elektronik perlu memainkan peranan membuat hebahan kepada umum seperti memberi pendedahan tentang bahayanya mercun yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan pengguna selain menemubual sesiapa yang pernah menjadi mangsa untuk dijadikan kisah teladan.

“Selain berkempen, kanak-kanak dan remaja perlu dididik tentang bahaya mercun dan bunga api bermula daripada peringkat awal bagi membendung kejadian sama berulang,” katanya kepada

Beliau berkata, bermain mercun bukan budaya umat Islam kerana banyak kaedah lain boleh dilakukan bagi mengawal anak-anak daripada membeli dan bermain mercun seperti bertakbir dari rumah ke rumah selain mengajak anak-anak melakukan amal ibadat.

Sementara itu, Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar berpendapat penguatkuasaan di pintu-pintu masuk sempadan negara perlu diperketatkan dalam membendung kegiatan penjualan mercun secara terbuka di pasaran.

“Penguatkuasaan perlu dilakukan secara telus dan bukan sambil lewa di samping memastikan tahap integriti pegawai-pegawai penguat kuasa yang menjalankan tugas dipertingkatkan supaya sebarang salah laku jenayah dapat dielakkan,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun banyak operasi dijalankan namun kes kecederaan akibat bermain mercun melibatkan individu dan kanak-kanak masih berlaku dan sering terpapar di akhbar-akhbar tempatan terutamanya menjelang musim perayaan.

Dalam kejadian terbaharu di Dungun, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera parah akibat bermain mercun buatan sendiri sebelum mercun itu meletup.

Mengulas kejadian itu, seorang konsultan sambilan, Norhayati Jantan, 43, berkata selain memantau kegiatan anak-anak semasa bermain mercun dan bunga api, ibu bapa harus memastikan keselamatan jenis mercun yang dibeli untuk anak-anak mereka.

“Ibu bapa memang ingin anak-anak seronok dan merasai kemeriahan menyambut hari raya, tetapi harus berhemah ketika membenarkan anak-anak bermain mercun dengan memantau apa yang dilakukan kerana anak-anak sekarang dah pandai ubah suai, daripada yang tidak bahaya (mercun) menjadi bahaya,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak sama ada individu atau orang awam yang menjual mercun secara haram.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Bahagian Penguatkuasaan Datuk Zulkifli Yahya berkata dalam membanteras kegiatan itu daripada berleluasa, kastam sentiasa membuat pemantauan tanpa mengira musim dan ia tidak tertakluk di sempadan negara sahaja.

“Namun, ada kegiatan mereka (pesalah) yang tidak dapat dikesan menyebabkan mercun berbahaya senang dimiliki dan dijual di tempat terbuka hingga memudahkan orang ramai memilikinya,” katanya sambil menambah sebanyak 54 kes melibatkan mercun dengan nilai rampasan RM550,000 berjaya ditumpaskan setakat ini.

Menurutnya, kerajaan hanya meluluskan bunga api dan mercun jenis ‘Happy Boom’ dan ‘Magic Pop’ untuk dijual kerana tidak mengandungi bahan membakar dan tidak membahayakan selain peniaga perlu mendapatkan permit daripada polis dan membayar cukai.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");