Berita Hari Ini

1MDB: Elak campur tangan luar

KOTA BHARU – Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob senada dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar tidak ada campur tangan pihak asing berhubung siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, siasatan terhadap kes-kes berkaitan 1MDB perlu dilakukan secara telus dalam negara tanpa melibatkan campur tangan pihak luar.

“Memang dalam Pas kita mahukan kebenaran. Yang benar tetap benar, begitu sebaliknya, dan perkara (1MDB) ini pun sudah berada pada tahap perlu dibuktikan,” katanya kepada media selepas menyerahkan 1 gram wafer emas kepada asnaf dan penghafaz al-Quran, di sini, semalam.

Abdul Hadi sebelum ini berkata, isu 1MDB perlu disiasat secara adil dan telus serta tidak boleh dibiarkan, namun jangan sesekali mendedahkan ruang campur tangan kepada pihak asing.

Mengenai program penyerahan 1 gram wafer emas kepada asnaf dan penghafaz al-Quran terpilih di negeri ini, Ahmad berkata, ia adalah julung kali diadakan untuk menggalakkan orang ramai menyimpan emas.

“Selain sebagai galakan untuk menyimpan, kita harap mereka mempunyai maklumat tentang mata wang dinar dan dirham yang pernah menjadi antara mata wang suatu ketika dahulu sekali gus membantu memperluaskan lagi penggunaan dinar emas dan perak di negeri ini,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik usaha Kelantan Gold Trade berkongsi maklumat dengan orang ramai dan dalam masa sama meraikan golongan asnaf serta penghafaz al-Quran di negeri ini.

Dalam majlis tersebut seramai 70 asnaf dan penghafaz al-Quran menerima 1 gram wafer emas yang bernilai RM215 sekali gus membolehkan penerima mempunyai simpanan emas fizikal sendiri.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");