Membawang Hari Ini

4 Wanita kelakar buru hantu

Pembaca yang membesar pada era 90-an pasti mengenali katun dan siri televisyen Ghostbusters yang mengisahkan empat jejaka menangkap makhluk halus di kota metropolitan New York, Amerika Syarikat.

Ghostbusters mula diperkenalkan penciptanya, Dan Aykroyd dan Harold Ramis kepada peminat menerusi filem pertama pada 1984 diikuti sekuel pada 1989.

Terdapat perancangan menghasilkan sekuel ketiga Ghostbusters namun ia terpaksa dibatalkan berikutan kurang sambutan penonton.

Selepas 27 tahun berlalu, Ghostbusters kembali menggegarkan pawagam seluruh dunia namun kali ini empat watak utama dibintangi pelakon wanita iaitu Melissa McCarthy, Kristen Wiig, Kate McKinnon dan Leslie Jones.

Sudah tentu perubahan itu mencetuskan kontroversi hangat dalam kalangan pengikut setia Ghostbusters sehingga mencatat rekod baru dalam sejarah YouTube sebagai trailer filem paling tidak disukai.

Sehingga semalam, trailer Ghostbusters yang dimuat naik pada 3 Mac lalu mendapat lebih 926,000 ‘dislikes’ dengan 35.4 juta tontonan di YouTube.

Turut menampilkan pelakon tampan popular Chris Hemsworth, filem arahan Paul Feig itu adalah pembikinan semula filem pertama Ghostbusters pada 1984. Menjawab kontroversi itu, pengarah asal Ghostbusters, Ivan Reitman menjelaskan filem baru Ghostbusters bukan mengetengahkan wanita semata-mata.

“Filem ini menimbulkan banyak perbincangan berkaitan jantina. Saya berasakan pihak yang merungut mengenai filem ini adalah peminat Ghostbusters dan mereka tiada niat memburukkan wanita,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Bagaimanapun, Reitman mempercayai isu utama yang ditimbulkan peminat disebabkan filem itu adalah pembikinan semula dan bukannya sekuel.

“Saya percaya sebahagian besar peminat menyaksikan filem pertama Ghostbusters ketika kanak-kanak dan pengalaman itu sukar dilupakan mereka,” katanya.

Namun, Reitman yang juga produser mengakui agak terkejut dengan reaksi orang ramai terhadap trailer filem Ghostbusters.

“Tak sangka peminat begitu menyayanyi filem pertama Ghostbusters. Mereka sebenarnya mahu memastikan filem baru ini bukan cerita ‘sampah’ dan lebih menarik. Saya lega filem ini akhirnya ditayangkan, sekali gus mengubah persepsi orang ramai,” katanya.

Feig turut menjelaskan keputusan memilih empat pelakon wanita berkenaan untuk menjayakan watak pakar menangkap makhluk halus berikutan kebolehan mereka membuat lawak.

“Saya cuma mahu menghasilkan filem seram tetapi lawak selain ingin bekerjasama dengan pelakon wanita paling lucu di dunia.

“Pada masa sama, saya memahami perasaan peminat dan mengetahui mereka sebenarnya ‘gementar’ menyaksikan hasil filem ini,” katanya.

Menjawab kontroversi jantina terhadap Ghostbuster, McCarthy menyifatkan isu terbabit sebagai pelik kerana ramai memberi reaksi negatif sebelum menonton filem itu.

“Ia seolah-olah memberi ulasan buku seorang penulis yang belum ditulis lagi. Namun, saya tidak mempedulikan kritikan itu,” katanya.

McKinnon pula menzahirkan rasa kecewanya terhadap kontroversi itu dan mengharapkan peminat akan berubah fikiran selepas menyaksikan filem berkenaan.

“Saya sudah berusaha memberi yang terbaik untuk filem ini dan kami semua teruja menyaksikan hasilnya,” katanya.

Dalam filem ini, McCarthy, Wiig, McKinnon dan Jones melakonkan watak asal Ghostbusters Bill Murray, Dan Aykroyd, Harold Ramis dan Ernie Hudson.

Filem Ghostbusters akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai esok.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");