Sukan Hari Ini

Amaran Serena

London: Serena Williams memberi amaran kepada pencabarnya di Wimbledon, dia tidak akan mengalami kekalahan memalukan seperti Novak Djokovic ketika juara bertahan itu bertekad memburu kejuaraan utama ke-22.

Serena terkejut seperti juga pemain lain apabila Djokovic tersingkir pada pusingan ketiga di tangan Sam Querrey kelmarin namun menggunakan insiden penyingkiran rakan pemain nombor satu dunia itu sebagai pelajaran berharga agar tidak memandang rendah mana-mana pemain lawan.

Pemain berusia 34 tahun itu membuktikannya apabila membelasah pemain Jerman Annika Beck 6-3, 6-0 dalam tempoh 51 minit di Centre Court semalam, menang 11 daripada 12 game terakhir untuk memenangi perlawanan Grand Slam ke-300.

Serena begitu dominan dalam set kedua yang menyaksikannya hanya kehilangan empat mata, memenangi semua servis menyebabkan bekas juara Wimbledon Jana Novotna menyifatkan pemain Amerika Syarikat itu sebagai ‘tiada cacat-cela’.

Malah Serena yang tidak memenangi sebarang kejohanan utama sejak Wimbledon tahun lalu, mendedahkan takut mengalami kekalahan memalukan seperti Djokovic yang menyebabkannya fokus menjelang pertemuan 16 pemain terbaik menentang pilihan ke-13 dari Russia Svetlana Kuznetsova.

“Setiap kali melangkah ke gelanggang, jika saya tidak menang, ia satu isu besar. Namun jika saya menang, ia tidak begitu diendahkan,” kata Serena yang berharap dapat menyamai rekod Steffi Graf pada era kejohanan terbuka dengan 22 kejuaraan Grand Slam.

“Saya rasa hanya dua pemain yang boleh anda kategorikan seperti itu dalam kalangan atlet.

“Saya dan dia masing-masing mencipta sejarah luar biasa. Dia menang empat kejohanan berturut-turut. Saya fikir ia sesuatu yang bersejarah.

“Saya fikir Novak akan kembali. Saya terkejut dia gagal melakukannya.

“Itulah yang berlaku sebenarnya. Saya tidak menganggapnya sebagai beban. Berada dalam kedudukan itu sesuatu yang hebat.”

Selepas beraksi pada tengahari Ahad buat kali pertama di Wimbledon sejak 2004, Serena mengakui lega dapat menghabiskan perlawanan menentang Annika dengan cepat, memberikan lebih banyak masa untuk berehat sebelum berusaha mencatat kemenangan ke-10 dalam 13 pertemuan dengan teman baiknya Svetlana.

“Ia memberikan saya lebih keyakinan. Saya sedar apa yang diperlukan untuk menang kejohanan ini. Saya hanya perlu lakukannya sekarang,” kata juara Wimbledon enam kali itu.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");