Membawang Hari Ini

Azhael bingkas berkarya

Kumpulan Azhael yang dianggotai dua anak muda, Mohd Azhar Osman dan Hael Husaini Razmi mula mencipta kelainan ketika menyertai pertandingan realiti Akademi Fantasia pada 2013 (AF2013).

Walaupun kerjaya mereka bergerak perlahan, kumpulan duo itu berjaya mengekalkan momentum mereka. Baru muncul dengan single Mencintaimu, Azhael terus mempromosikan lagu itu agar lebih diketahui umum.

Klip muzik yang dimuat naik ke YouTube berjaya mendapat tontonan lebih sejuta. Namun bagi pasangan duo ini, mereka tidak menganggap perkara itu sebagai penanda aras kejayaan mereka.

Kata Azhar, mereka tidak boleh dibuai dengan situasi seperti itu sebaliknya ia sebagai tanda mereka harus mencari sesuatu yang baru untuk dipersembahkan kepada peminat agar Azhael tidak berada di takuk sama.

“Semua orang pasti bangga apabila klip mereka ditonton lebih sejuta kali. Itu bermakna ada sesuatu yang istimewa tidak hanya pada klip muzik, juga lagu yang kami nyanyikan.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh terlalu mudah berpuas hati. Apabila mendapat maklum balas positif, itu tandanya kami harus bekerja lebih keras. Untuk karya seterusnya, kami perlu mencari elemen yang berbeza.

“Untuk berjaya dalam bidang ini, kami tidak boleh berada di tahap yang sama mahupun memberikan bentuk muzik sama. Ia sama seperti makanan, kalau asyik makan juadah yang sama pasti akan rasa bosan,” katanya.

Kata Hael pula, dia gembira melihat penerimaan peminat terhadap lagu baru mereka. Lebih tertumpu pada penghasilan lagu, dia berharap mereka boleh menyanyikan lagu hasil gubahan sendiri.

“Setakat ini saya banyak menulis lagu untuk diberikan kepada rakan seangkatan yang pernah menyertai AF. Bagaimanapun, saya belum ada keberanian memberikannya kepada penyanyi ternama.

“Perancangan masa hadapan sudah pasti saya ingin melihat artis tersohor menyanyikan lagu hasil ciptaan saya. Ia bukan hanya baik untuk kerjaya saya dalam bidang muzik tetapi juga untuk Azhael,” katanya.

Hael akui kini lebih cenderung kepada penulisan lirik malah ada hasrat menyanyikan lagu hasil tulisan sendiri tetapi mungkin bukan sekarang.

“Kami bersyukur walaupun belum mengeluarkan album dan jarang muncul dengan single, kami masih berada dalam industri dan dikenali. Itu sudah cukup buat kami,” katanya.

Hampir empat tahun dalam bidang muzik, mereka memilih untuk menyanyikan lagu berentak perlahan sebagai tanda mereka kian matang. Namun tidak menolak untuk menyanyikan lagu rancak.

Naib Juara AF2013 itu akan terus menyanyikan lagu-lagu yang sesuai dengan jiwa mereka, namun tidak melupakan pilihan muzik yang menjadi pilihan umum. Mereka tidak mahu sekadar menyanyi tetapi juga ingin berasa puas.

Kata Hael, single mereka sebelum ini semuanya mempunyai muzik rancak manakala Mencintai lebih perlahan dan memberi fokus pada vokal mereka. Ia kesempatan baik membuktikan kemampuan paduan suara mereka.

“Setiap genre lagu itu mempunyai cabaran tersendiri. Sejak keluar dari AF2013, kami menampilkan lagu rancak. Begitu juga lagu Hentian Terakhir, Hujung Waktu dan Terima Kasih Kekasih.

“Kali ini kami lebih menitikberatkan vokal dan mencuba sesuatu yang baru. Itu memang perlu dan ia akan membuatkan kita merasai satu perasaan baru.

“Kalau tidak diterima, boleh mencuba genre lain tapi memandangkan ia diterima dengan baik, selepas ini kami boleh terus hasilkan lagu seperti Mencintai,” katanya.

Selepas empat tahun juga, Azhar akui banyak perubahan besar yang mereka lalui. Paling terasa dari segi penampilan bukan hanya pemilihan pakaian, mereka juga harus menjaga cara berpakaian ketika berada di tempat awam.

Katanya, sebelum bergelar penyanyi, mereka boleh sesuka hati memakai apa saja pakaian dirasakan sesuai. Namun kini, mereka mempunyai peminat dan mungkin ada yang mengikut cara mereka.

“Kita tidak tahu mungkin ada antara mereka yang cuba meniru cara kami berpakaian. Oleh sebab itu, kami harus menjaga agar sentiasa kemas tidak kira di mana pun kami berada. Paling penting memilih pakaian mengikut kesesuaian,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");