Sukan Hari Ini

Azimat Wales

Lille, Perancis: Gabungan pemain berbakat bertaraf dunia dan pertahanan kukuh akan terus menghidupkan impian Wales selepas kemenangan bergaya 3-1 ke atas Belgium bagi menempah tempat di separuh akhir Kejohanan Eropah buat kali pertama.

Dua gol separuh masa kedua menerusi Hal Robson-Kanu dan Sam Vokes mengesahkan kemenangan menentang Belgium selepas tandukan ketua pasukan Ashley Williams menyamakan jaringan Radja Nainggolan.

Robson-Kanu yang dipilih pemain terbaik perlawanan berkata, mereka bukan pasukan pilihan untuk layak, tetapi sedar mengenai kualiti pasukannya.

“Persembahan hari ini wajar dikreditkan kepada semua orang. Kami mengekalkan strategi permainan. Kami mempunyai pemain bertaraf dunia dan bertahan jitu. Dua gabungan ini memberikan kami peluang yang baik,” katanya.

Bekas pemain antarabangsa England Gary Lineker yang kini pengulas BBC menggelar kemenangan Wales itu sebagai persembahan terbaik dalam sejarah bola sepak British.

Jaringan Robson-Kanu menyaksikan dia memperdayakan tiga pemain Belgium sebelum merembat tenang untuk jaringan kedua bagi membolehkan Wales mendahului 2-1 pada minit ke-55.

Sementara itu, jurulatih Wales Chris Coleman berkata, beliau yakin Wales mampu bangkit daripada kekecewaan dan berhak untuk menang.

“Saya tahu anda mengimpikan malam seperti ini dan anda tidak tahu sama ada cukup bertuah untuk merasainya.

“Saya sudah katakan sebelum perlawanan ini kami berada di sini bukan untuk bergembira, kami datang untuk berjuang.

“Kami bertahan seperti tentera. Apa yang saya mampu lakukan adalah menekankan kepada pemain agar tidak lupa apa yang membawa mereka ke sini. Saya tahu pasukan saya boleh bermain baik menentang sesiapa saja,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik kemaraan Wales ke separuh akhir di Lyon, pasukan itu akan beraksi tanpa pemain tengah Aaron Ramsey kerana mengutip kad kuning kedua yang menyebabkannya digantung satu perlawanan.

“Saya sedih untuk Aaron, dia salah satu pemain terbaik kejohanan ini. Tetapi, seperti yang kami katakan sebelum ini, kami perlu melakukan apa yang kami patut lakukan,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");