Jenayah

Bekas pengurus kontrak TM dipenjara 7 tahun

SHAH ALAM – Seorang bekas pengurus kontrak Telekom Malaysia (TM) Berhad dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menipu seorang individu bagi mendapatkan kontrak berhubung kerja penjimatan tenaga, empat tahun lepas.

Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Fairuz Rizman Yazid selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan memerintahkan hukuman berkuat kuasa mulai hari ini.

Ketika menyampaikan keputusannya, hakim antara lain berkata terdapat keterangan saksi pihak pendakwaan dalam kes itu tidak dicabar oleh pihak pembelaan selain mendapati hujahan tertuduh yang tidak konsisten menimbulkan keraguan.

Fairuz Rizman, 42, yang ketika kejadian berkhidmat di Bahagian Pembangunan Hartanah syarikat TM, didakwa menipu individu bergelar ‘Datuk’ dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mendapatkan kontrak berkenaan.

Ini mendorong mangsa menyerahkan kira-kira RM700,000 kepada lelaki itu menerusi tiga transaksi sebagai bayaran kepada pihak atasan syarikat untuk mendapatkan tender itu, sedangkan wang berkenaan tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Dolomite Business Park, Batu Caves, Selangor.

Terdahulu, dalam rayuan bagi mengurangkan hukuman, peguam mewakili tertuduh, Azmi Talib memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara sebaliknya mengenakan hukuman denda minimum kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga termasuk ibunya yang kurang upaya.

Beliau juga memohon hukuman penjara dan sebatan ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, namun ditolak hakim disebabkan tiada alasan wajar untuk menangguhkan hukuman itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmood.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan mengemukakan sembilan saksi manakala pihak pembelaan empat saksi.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");