Berita Hari Ini

Difteria masih terkawal di Malaysia

PETALING JAYA – Penyakit difteria, yang dikesan di negara ini bulan lepas, masih dalam keadaan terkawal walaupun sudah mencatatkan 5 kematian daripada 15 kes yang dilaporkan sehingga kini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, ini kerana, sebanyak 95 peratus daripada rakyat Malaysia telah menjalani program imunisasi termasuk diberi vaksin difteria sejak kecil bagi perlindungan kesihatan lengkap.

“Hanya lima peratus sahaja yang masih belum menerima imunisasi perlindungan itu dan mempunyai kemungkinan dijangkiti penyakit tersebut.

“Kes terbaharu melibatkan seorang dewasa…kita melakukan siasatan terperinci untuk menyemak latar belakang mangsa sama ada dia pernah menerima imunisasi lengkap sebelum ini.

“Ini bukan sesuatu yang baru kerana kes sama pernah berlaku melibatkan sekelompok penduduk dan ia telah pun kita atasi,” katanya selepas merasmikan nama baharu Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di sini, hari ini.

Sebelum ini, NPRA dikenali sebagai Makmal Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.

Semalam, seorang suri rumah dari Rembau, Negeri Sembilan disahkan positif difteria.

Daripada 15 kes yang dikesan sehingga kini, tiga kes dengan satu kematian dilaporkan di Melaka, Kedah (tujuh kes, satu kematian), Sabah (empat kes, tiga kematian) dan Negeri Sembilan satu kes.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Dr Chong Chee Kheong menggesa ibu bapa supaya memastikan anak-anak berusia bawah tujuh tahun mendapatkan imunisasi 5 serangkai yang lengkap.

Katanya, langkah itu penting bagi meningkatkan imuniti tubuh seterusnya membendung difteria.

“Keutamaan kita adalah kanak-kanak. Namun, bagi mereka yang tidak pasti sama ada diberikan vaksin atau tidak, mereka boleh ke klinik kerajaan untuk mendapatkan pengesahan,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");