Sukan Hari Ini

‘FAM perlu hati-hati’

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus berhati-hati dalam menyelesaikan kemelut yang melanda badan induk itu bagi mengelak campur tangan kerajaan sehingga boleh mengundang risiko digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika konflik kini melanda FAM susulan dakwaan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memiliki ‘pendrive’ mengandungi bukti penyelewengan dan salah laku pegawai FAM, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tampil menjadi orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian.

Bagaimanapun kehadiran Khairy ini menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana pembabitan beliau dalam urusan badan induk bola sepak tanah air itu.

Ini susulan pengakuan Khairy sendiri yang mengarahkan Bendahari FAM Datuk Seri Norza Zakaria dan Ketua Jabatan Kewangan FAM Datuk V Ampega bertemu dengan Tunku Ismail bagi memberikan talimat kewangan badan induk itu tanpa pengetahuan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Malah kedua-dua Timbalan Presidennya Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Mokhtar Ahmad juga dikatakan tidak dimaklumkan mengenai pertemuan itu.

Selepas itu Khairy menyatakan ingin mengadakan pertemuan dengan FAM bagi membincangkan mengenai formula yang diyakininya bukan saja mampu menyelesaikan pertelingkahan itu malah boleh membawa semua pihak membangunkan bola sepak.

Situasi yang berlaku di Wisma FAM kini dipantau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Setiausaha Agungnya Datuk Windsor Paul John (gambar) mengingatkan agar FAM tidak hilang kawalan.

“Kami sedang memantau perkara itu. Jika berlakunya campur tangan kerajaan, kami akan bertindak sekiranya ada aduan rasmi dari FAM,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dengan FAM seakan kehilangan nakhoda kapal apabila Presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkeras untuk meneruskan hasrat meletakkan jawatan dan tidak mahu campur tangan dengan kemelut itu, Afandi dan Mokhtar pula terus berdiam diri ketika badan induk itu ‘diserang’ hebat oleh Tunku Ismail.

Jika masalah kepimpinan gagal ditangani segera, ia boleh mengundang campur tangan orang luar dan mungkin jawatan yang akan dikosongkan Tengku Abdullah itu nanti perlu segera diisi individu lain menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) FAM.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");