Membawang Hari Ini

Fazley ingat pesan ayah

Seminggu sebelum meninggal dunia, bapanya berpesan apa juga berlaku dia tidak mahu anaknya meninggalkan bidang nyanyian walaupun namanya kini lebih dikenali dalam dunia masakan.

Pesanan arwah ayahnya akan diingati penyanyi yang kini bergelar cef popular, Datuk Fazley Yaacob, 38, selepas menyertai Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama dan bergelar juara.

Fazley yang mula dikenali dengan lagu Asmara Ini pada 2001 akui dia kini lebih dikenali ramai sebagai jurumasak. Malah banyak anugerah dan pencapaian diperoleh menerusi bidang masakan.

“Pesan arwah ayah, sejauh manapun saya pergi dalam dunia masakan tetapi jangan sekali-kali lupakan nyanyian. Apatah lagi saya dikenali umum menerusi lagu Asmara sehingga digelar Abang Asmara sebelum ini.

“Begitupun, kejayaan yang saya raih dalam bidang masakan juga adalah berkat doa kedua-dua ibu bapa saya,” katanya.

Fazley yang juga mengikat tujuh kontrak sebagai duta jenama berkaitan bidang masakan menegaskan, disebabkan doa dan restu ibu bapanya itu juga menyebabkan banyak kejayaan diraih walaupun masih baru menceburi bidang masakan.

“Saya sebenarnya melihat perkembangan kerjaya saya sebagai cef selebriti sebagai satu peluang. Malah ia seakan-akan semakin dekat di hati apabila pelbagai tawaran yang saya terima sama ada mengendalikan restoran, menjayakan program masakan mahupun menjadi duta.

“Banyak pihak percayakan kemampuan saya dan ia sedikit sebanyak meniup semangat saya untuk terus mengembangkan bakat yang ada (bidang masakan),” katanya.

Atas alasan itu juga, bapa empat anak ini mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dalam Jurusan gastronomy di Universiti Reims, Perancis yang dijangka tamat Oktober depan.

“Harap dengan ilmu yang diperoleh, saya mampu mengembangkan lagi kerjaya dan pengetahuan dalam bidang masakan,” katanya.

Fazley juga bangga kerana buku resipi dihasilkan, My Sucre Story menjadi juara dalam pertandingan buku resipi antarabangsa, The World Gourmand Cookbook Awards yang diumumkan di Yantai, China, Mei lalu.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Gourmand International, Barcelona, Sepanyol yang mana hampir 205 negara bertanding.

“Saya sedar apabila penampilan saya sebagai cef lebih menonjol, membuatkan saya cuba mengimbangkan dengan kerjaya seni.

“Sebenarnya pada Ramadan dan Syawal ini, saya memasarkan album kompilasi himpunan lagu raya sejak zaman Asmara Ini seperti Ku Mohon Maaf Sayang.

“Album ini turut memuatkan lagu baru Seribu Kemaafan dan ia saya dedikasikan kepada arwah bapa. Bayangkan sepanjang saya menghasilkan lagu dan album ini, arwah bapa ada bersama.

“Bapa turut menyaksikan segala proses yang dibuat. Disebabkan itu juga, setiap kali mendendangkan lagu Seribu Kemaafan, saya akan berasa sebak,” katanya.

Selain album Asmara Ini, Fazley juga menghasilkan album Cerita Asmara (2003) dan Lain (2005). Katanya, sudah lama dia tidak muncul dengan sebarang album.

“Apabila memasarkan album khas lagu raya ini, hati saya sebak kerana arwah bapa sudah tiada,” kata Fazley yang kehilangan ayah, Datuk Yaakob Mohammad pada 8 Februari lalu.

Selain menyanyi, sewaktu awal pembabitannya dalam dunia seni Fazley juga pernah berlakon dan membintangi filem Janji Diana dan Gila Bola.

Fazley akui sebelum ini banyak tawaran diterima tetapi kesibukannya dengan kerjaya baru sebagai cef selebriti membuatkan dia terpaksa menolak tawaran yang datang.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");