SHAH ALAM – Cubaan seorang lelaki melarikan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Medan Selera, Seksyen 2 di sini dengan menarik mesin itu menggunakan sebuah kereta Mercedez Benz gagal selepas alat penggera keselamatan berbunyi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi tadi, suspek yang memakai topeng ski dipercayai mengikat seutas tali pada mesin ATM itu, manakala hujung satu lagi diikatkan pada keretanya yang diletakkan di luar medan selera itu.
“Siasatan mendapati hanya ‘kepingan luar’ bahagian depan mesin ATM dapat ditarik suspek. Namun, mesin ATM tidak terkeluar dari tempat asalnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Kehadiran orang ramai ke sebuah restoran makanan segera berdekatan medan selera itu pada waktu kejadian telah menyukarkan suspek untuk menarik keluar mesin ATM itu dan suspek telah melarikan diri setelah alat penggera keselamatan mesin berbunyi, katanya.
Shafien berkata polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi menjejaki suspek berumur dalam lingkungan 30-an dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 511 Kanun Keseksaan.
– Bernama