Berita Hari Ini

Graduan perubatan tak dilarang kerja di sektor lain

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan tidak melarang graduan perubatan, yang belum dipanggil menjalani ‘housemanship’ di hospital kerajaan, bekerja di sektor lain selagi mematuhi etika pengamal perubatan yang ditetapkan.

Menterinya Datuk Seri S. Subramaniam berkata, perkara itu dibenarkan sepanjang tempoh graduan berkenaan belum dipanggil menjalani latihan di hospital kerajaan.

“Kami tidak menghalang mereka daripada mendapatkan sebarang penempatan semasa tempoh latihan, selagi ia mematuhi etika dan tidak melanggar peraturan.

“Perkara yang mereka (graduan) tidak boleh lakukan adalah menjaga pesakit secara sendirian kerana untuk berbuat demikian, mereka perlu mendaftar dengan peguam perubatan dan menjalankan ‘housemanship’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan bagi Penyelidikan Klinikal (NCCR) Ke-10 bertema ‘Penyelidikan Klinikal Memacu Data Meluas bagi Kesihatan’ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya graduan perubatan yang masih menunggu panggilan menjalani latihan, boleh menjalankan kerja luar seperti menjadi penyelidik di bahagian klinikal.

Terdahulu, dalam ucapannya Dr Subramaniam berkata kerajaan komited membangunkan Malaysia untuk menjadi pusat kecemerlangan terkemuka antarabangsa bagi penghasilan ubat-ubatan dan strategi rawatan baharu.

“Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) sedang menerokai penyelidikan klinikal awal menerusi Projek Realisasi Fasa 1(P1RP).

“Percubaan klinikal Fasa 1 memainkan peranan penting dalam memperluas keupayaan Malaysia membangunkan sains perubatan dan rawatan penyakit,” katanya sambil memberitahu Malaysia memperoleh pelbagai kelebihan ekonomi dengan memberi laluan kepada kajian-kajian fasa awal.

NCCR dianjurkan bersama oleh Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC), CRM dan Persatuan Penyelidik Klinikal Profesional Malaysia (SCRPM).

Dengan kehadiran 24 pakar tempatan dan antarabangsa termasuk dari Korea Selatan, Taiwan dan Australia, persidangan itu berperanan sebagai platform yang menghimpunkan para saintis, penyelidik, profesional perubatan dan kesihatan untuk berkongsi dan bertukar idea saintifik serta menggalakkan penyelidikan baharu dan hasil penyelidikan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");