Perak Hari Ini

Hargai Faktor ‘4K’ – PM

BAGAN DATOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar rakyat di negara ini dapat menghargai faktor 4K iaitu keamanan, keharmonian, kestabilan dan kemakmuran.

Tegasnya, semua pihak tidak boleh memandang ringan serta alpa terhadap nilai keamanan dan seharusnya mempertahankannya.

Beliau berkata, sehingga kini keselamatan negara masih lagi dapat dikekalkan meskipun negara belum bebas daripada ancaman keselamatan.

“Ada orang yang bercadang nak melakukan sesuatu yang serius dari segi keselamatan tetapi kita masih berjaya mengekalkan keamanan negara sampai ke hari ini.

“Saya merayu, jangan sekali-kali kita membenarkan angkara-angkara yang berlaku di negara lain menjadi sesuatu yang boleh menggugat kita sehingga perayaan seperti ini tidak mungkin dapat kita adakan kalau tidak kita pertahankan nilai keamanan dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) 2016 yang diadakan di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang di sini, pada Ahad.

PERAK TODAY 3

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Seramai 50,000 tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum telah menghadiri majlis tersebut yang bermula seawal jam 2.30 petang sehingga 12 malam.

Najib berkata, keharmonian diantara kaum juga seharusnya dijaga dengan sebaik-baiknya oleh rakyat.

“Di kawasan Bagan Datoh umpamanya, kita lihat pelbagaian kaum itu, keturunan kaum India dan Cina, tetapi kita boleh lihat kalau kita menjaga keamanan dan keharmonian dalam negara kita, maka sebarang perayaan mendapat sambutan pelbagai kaum seperti mana yang kita lihat pada malam ini,” tambahnya lagi.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, beliau telah mengumumkan bahawa atas persetujuan daripada kerajaan negeri dan juga Kabinet, Bagan Datoh dinaik taraf sebagai sebuah daerah penuh.

Beliau turut mengumumkan peruntukan untuk beberapa projek di Bagan Datoh.

“Bagan Datoh ini lebih-lebih lagi setelah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, alhamdulillah banyak rahmat yang orang Bagan Datoh dapat.

“Saya nak sebutkan beberapa perkara yang pertama ialah jambatan Bagan Datoh-Pasir Salak bernilai RM350 juta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) RM150 juta; jalan dua hala Hutan Melintang-Bagan Datoh RM90 juta dan sebuah Politeknik Bagan Datoh sebanyak RM220 juta,” katanya.

“Inilah projek-projek besar dan Insyaallah ianya akan dilaksanakan di Parlimen ini,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");