Berita Hari Ini

Insiden culik mungkin didalangi kumpulan sama – TPM

NEW DELHI: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan kes kehilangan lima kru kapal tunda di perairan Dent Heaven di Lahad Datu, Sabah petang semalam didalangi oleh sindiket culik untuk pampasan.

Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau percaya kehilangan lima rakyat Malaysia itu kemungkinan dilakukan oleh kumpulan sama yang terbabit dalam beberapa insiden penculikan di perairan Sabah, sebelum ini.

“Saya ada menerima maklumat daripada Bukit Aman dan juga Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Abd Rashid Harun) mengenai kehilangan lima rakyat Malaysia di perairan Sabah.

“Difahamkan ketika pasukan keselamatan menemui kapal berkenaan, enjin bot dalam keadaan hidup tetapi tiada orang.

“Saya tidak menolak kemungkinan kehilangan mereka ini dilakukan oleh kumpulan sama yang terbabit dalam beberapa kejadian penculikan di perairan Sabah, sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Zahid tiba di India pada Ahad lalu sempena lawatan kerja selama tiga hari yang akan berakhir hari ini.

Media hari ini melaporkan, Polis Sabah tidak menolak kemungkinan lima kru rakyat Malaysia yang hilang selepas kapal tunda dinaiki mereka ditemui terdampar di perairan Dent Heaven, Lahad Datu, semalam, menjadi mangsa culik.

Kapal itu ditemui terkandas di kawasan beting pasir oleh pasukan keselamatan jam 2 petang semalam dalam keadaan enjin hidup tanpa operator, manakala barangan di dalamnya berselerak menyebabkan usaha mengesan kru digerakkan serta-merta.

Abd Rashid berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan sehingga kini belum dapat mengesahkan apa yang berlaku kepada semua lima kru berkenaan.

Lima kru kapal tunda yang hilang ialah Abd Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45; Mohd Ridzuan Ismail, 32; Zulkipli Ali, 56; dan Fandy Bakran, 26. Difahamkan, kapal tunda tanpa muatan itu dalam perjalanan balik dari Sandakan ke Semporna selepas menghantar pasir.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");