Berita Hari Ini

Jangan ambil ubat mengantuk

KOTA BHARU – Orang ramai diingatkan agar tidak mengambil ubat yang membawa kesan mengantuk sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Kelantan, Mohammad Aswady Adenan berkata, pengguna boleh merujuk kepada doktor mahupun pegawai farmasi untuk menukar jenis ubat yang digunakan untuk tempoh tersebut.

Menurutnya, perkara tersebut perlu diberikan perhatian bagi mengelak kecelakaan di jalan raya apatah lagi ketika masing-masing ingin pulang ke kampung.

“Ini perkara sering diabaikan kerana kita sudah biasa dengan ubat yang dimakan. Jadi kali ini orang ramai dinasihatkan untuk peka dengan perkara ini.

“Kesilapan kecil kita ini boleh meragut nyawa insan tersayang dan jangan pula ragut kegembiraan raya dengan kehilangan ahli keluarga kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, beliau juga menasihatkan kepada pengguna terutamanya perantau-perantau untuk membawa pulang bekalan ubat yang mencukupi ketika cuti perayaan.

Tambahnya, kegagalan menyediakan ubat dalam tempoh tertentu boleh mengundang risiko terutamanya kepada penghidap penyakit kronik.

Nasihatnya juga, pengguna perlu makan ubat mengikut kekerapan yang ditetapkan bagi mengelak gangguan kesihatan.

Dalam pada itu, katanya, sempena cuti perayaan ini juga pihaknya turut mengedarkan kira-kira 50,000 sampul duit raya bermesej untuk mendidik masyarakat peka terhadap penjualan ubat di Internet yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Katanya, walaupun tahap kesedaran pengguna semakin meningkat dalam perkara tersebut namun tindakan berterusan perlu dilakukan supaya masyarakat tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan di media sosial.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");