Berita Hari Ini

Langkah berjaga-jaga banjir di beberapa kawasan

BALIK PULAU – Ketika hujan masih berterusan di Pulau Pinang hari ini, beberapa kawasan yang mudah dinaiki air diletak dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan dilanda banjir.

Setakat kira-kira jam 11 pagi ini, jumlah taburan hujan yang direkodkan di negeri ini adalah 79.5 mm, melepasi paras amaran 70mm, yang boleh menyebabkan banjir.

Adun Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata, berdasarkan data yang dikumpul Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, banjir itu berpunca daripada hujan lebat, air pasang dan sistem saliran yang ketinggalan zaman di Sungai Kelian, di sini.

“Kami telahpun meminta kerajaan negeri supaya menambah baik sistem ini pada 2013, bagaimanapun sehingga kini tiada kerja penambahbaikan yang dilaksanakan. Saya percaya jika sistem ini ditambah bak, banjir boleh dielakkan,” katanya kepada pemberita di dewan Majlis Bandaraya Teluk Bahang di sini hari ini.

Shah Headan turut, menggesa pihak berkuasa yang berkaitan seperti Jabatan Meteorologi, polis dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang supaya berganding tenaga dan berkongsi maklumat bagi manfaat penduduk setempat.

Penduduk yang ditemui semasa sedang membersihkan rumah mereka, menyuarakan kebimbangan kemungkinan banjir melanda semula berikutan hujan yang belum reda sejak malam tadi.

Rozana Said, 50, dan suaminya, Abdul Khalid Mohamad Hanifa, 52, berkata mereka belum pernah mengalami banjir seburuk ini sejak tinggal di kawasan itu 20 tahun lepas.

“Keadaan kali ini betul-betul teruk. Selalunya hanya setakat bawah lutut tapi kali ini, air sampai ke pinggang,” katanya.

Tiga kampung di Teluk Kumbar – Kampung Paya, Kampung Sulup dan Kampung Nelayan – kini digenangi air.

Dua buah pusat penempatan mangsa banjir telahpun dibuka masing-masing di Teluk Bahang dan Teluk Kumbar yang menempatkan 30 orang.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");