SHAH ALAM – Individu-individu yang meninggalkan Umno atau dipecat daripada parti itu dinasihat supaya menyertai parti sedia ada yang sudah pun mempunyai tapak kukuh di negara ini.
Ini kerana menurut Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar A Samad, suasana politik terutamanya di Semenanjung menunjukkan rakyat amat payah untuk memberi sokongan kepada parti-parti baharu.
“Selain dari BN dan parti-parti utama pembangkang, amat payah bagi parti-parti lain untuk mendapat sokongan yang meluas atau sokongan yang berterusan.
“Sebelum ini kita pernah melihat parti-parti lain ditubuhkan seperti Berjasa, Hamim, Berjasa dan Nasma tetapi mereka gagal mendapat sokongan ramai dan telah tenggelam atau terus hilang dari perhatian rakyat,” katanya menerusi kenyataan, semalam.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita pemecatan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada parti keramat Melayu itu.
Sementara Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian parti.
Kemudian, selepas sepuluh hari digantung keahlian daripada parti, Shafie akhirnya tampil mengumumkan tindakan keluar daripada parti itu.
“Ada lebih praktikal ditubuhkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang memperjuangkan isu-isu tertentu dan mengadakan perjanjian persefahaman dengan parti-parti yang sedia ada.
“Keadaan yang sama serupa bagi mereka yang meninggalkan Umno atau dipecat dari Umno akibat kemelut terkini parti itu. Lebih baik bagi mereka menyertai sebarang parti yang sedia ada,” katanya lagi.
-Sinar Harian