Berita Hari Ini

LKIM laksana penguatkuasaan beku lesen eksport ikan

KUALA SELANGOR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaksanakan penguatkuasaan membekukan lesen eksport ikan rakyat bagi memastikan bekalan ikan khususnya di pasar tani mencukupi menjelang musim perayaan ini.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim menegaskan, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan atau menggantung lesen eksport sekiranya mereka ingkar arahan.

Menurutnya, penguatkuasaan pembekuan lesen eksport bermula Jun lalu dan akan berakhir Ogos ini sebagai langkah awal memastikan bekalan ikan khususnya ikan rakyat dapat ditingkatkan menjelang musim perayaan.

“Ada tujuh jenis ikan rakyat yang disekat untuk eksport seperti cencaru, kembung, pelaling, kerisi, keli, selayang dan selar untuk tempoh tiga bulan bahkan pemegang lesen sudah dimaklumkan lebih awal mengenai arahan ini.

“Saya juga meminta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) supaya dapat memastikan 20tan ikan sejuk beku dapat dikekalkan bagi menampung permintaan menjelang Syawal tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kembara Singgah Sahur LKIM Ke-3 2016 di Kampung Sungai Buloh, Jeram di sini pagi tadi dan dihadiri Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor (Penegor), Ab Aziz Selamat dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Selangor, Leftenan Kolonel (B) Jafar Yusuf.

Dalam program itu, Irmohizam turut menyampaikan sumbangan hamper dan keperluan dapur kepada 20 keluarga terdiri asnaf fakir miskin dan ibu tunggal di kampung itu.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, pihaknya turut meminta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan persatuan nelayan untuk bersama memastikan bekalan ikan rakyat ini sentiasa mencukupi.

“Saya juga menyarakan nelayan di negara ini menjadi mata dan telinga LKIM dan melaporkan sekiranya ada wujud usaha untuk mengeksport ikan rakyat ini dalam tempoh berkenaan.

“Kerjasama semua pihak penting dan rakyat jangan bimbang kerana LKIM akan membuat persedian terbaik untuk memastikan harga ikan terkawal khususnya di pasar tani,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Irmohizam akan terus membangkitkan isu bantahan nelayan Selangor berhubung ‘kajian’ kerajaan negeri yang mahu mengenakan caj jeti kepada bot nelayan pada sesi Parlimen akan datang.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");