Sukan Hari Ini

Mampukah atlet negara bersaing di Rio?

SELEPAS pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, melengkapkan senarai akhir atlet ke Sukan Olimpik Rio, Ogos ini, persoalan yang bermain kini mampukah barisan negara bersaing, sekali gus menghadirkan pingat?

Seramai 32 atlet daripada 10 sukan akan mengibarkan cabaran negara dalam temasya Olimpik Ke-31 di Rio.

Sandaran utama masih lagi diletakkan kepada pemain perseorangan badminton, Datuk Lee Chong Wei, dan ratu terjun, Pandelela Rinong, untuk meraih pingat.

Namun, pemerhati sukan tempatan, Rizal Hashim, tidak menolak sukan-sukan lain seperti memanah dan berbasikal trek mampu memberikan kejutan jika tuah hari pertandingan memihak mereka.

“Saya percaya prospek yang cerah akan datang daripada Azizulhasni Awang dalam acara lumba basikal, khususnya acara keirin, dan juga pemanah, Khairul Anuar Mohamad.

“Kita mengharapkan sama ada daripada acara berpasukan atau perseorangan dalam acara memanah recurve. Kita mengharapkan Khairul Anuar akan melakukan kejutan selepas mara ke suku akhir temasya di London, empat tahun lalu.

“Apa yang kita harapkan, setiap atlet yang bertandang ke Rio dapat mempamerkan sekurang-kurangnya prestasi terbaik mereka, mencipta rekod kebangsaan atau kedudukan yang paling baik yang pernah mereka raih dalam sejarah kerjaya mereka,” katanya.

Malaysia kini boleh mendabik dada apabila terdapat peningkatan atlet yang berjaya layak secara merit ke Sukan Olimpik kali ini yang kebanyakannya hadir melalui atlet-atlet muda seperti Welson Sim Wee Sheng, Jonathan Wong, dan Nur Dhabitah Sabri.

Justeru, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, berpandangan realistik dengan menuntut penampilan mereka di Olimpik dimanfaatkan sebaik-baiknya walaupun sedar sukar meraih pingat.

“Mereka bukan sahaja perlu menunjukkan yang terbaik bagi diri mereka tetapi perlu melihat keadaan atlet lebih baik dari mereka, contohnya persediaan mereka. Itulah yang lebih penting bagi saya. Mereka akan pulang dengan pengalaman dan semangat yang baru untuk menyediakan diri ke Olimpik yang akan datang.

“Sekurang-kurangnya, mereka hendaklah menunjukkan prestasi yang lebih baik dari di Sukan Asia,” katanya.
Berikut senarai acara sukan yang mempunyai wakil negara dalam Sukan Olimpik di Rio nanti. Badminton memiliki paling ramai atlet yang layak, iaitu lapan pemain, diikuti terjun, enam.

Paling membanggakan apabila golf turut mampu menyenaraikan empat atlet yang layak secara merit.

Badminton: 8
Terjun: 6
Golf: 4
Memanah: 3
Renang: 3
Olahraga: 2
Pelayaran: 2
Basikal trek: 2
Menembak: 1
Angkat berat: 1

-astro awani

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");