Sukan Hari Ini

Oscar kembali berlatih

London: Oscar kembali turun menjalani latihan bersama skuad Chelsea dan dia sedang menumpukan perhatian untuk mengembalikan kecergasan serta tahap permainan sebelum bermula kempen musim depan.

Pemain Brazil itu adalah antara kelompok bintang yang kembali menjalani latihan di Cobham, Isnin lalu dan ketika minggu ini semakin hampir ke penghujungnya, dia meluahkan rasa gembira dan tidak sabar untuk bermain bola sepak sekali lagi.

“Musim panas saya berakhir dengan hebat sekali. Saya berada di Brazil bersama keluarga dan kami bercuti dalam negara saja. Memang seronok,” kata Oscar.

“Saya menyaksikan banyak perlawanan bola sepak sepanjang cuti. Saya melihat aksi Copa America, Euro dan beberapa perlawanan liga tempatan. Saya kagum dengan persembahan Itali yang dibimbing Antonio Conte di Euro. Mereka beraksi hebat cuma tidak bernasib baik apabila tewas menerusi penentuan penalti kepada Jerman.

“Sudah lama saya tidak bermain dan justeru, saya seronok dapat kembali menjalani latihan di padang. Kami berlatih dengan bersungguh-sungguh dan tidak sabar mengharungi perlawanan pramusim.

“Latihan kali ini agak sukar buat saya kerana saya berehat panjang. Tapi pramusim adalah mengenai mencari tahap kecergasan sebelum mengharungi aksi sebenar.”

Conte menghadiri sesi latihan di Cobham buat kali pertama semalam dan sesi latihan pertama amat menyeronokkan Oscar.

“Saya sukakan corak latihan sebegini dan saya yakin pasukan kami akan meningkat berbanding musim lalu,” katanya.

“Beliau sudah menjelaskan apa yang beliau mahukan daripada kami. Beliau berbincang dengan semua pemain dan merangka gerakan taktikal yang akan kami laksanakan.” – Agensi/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");