Jenayah

Padah curi kereta

Alor Setar: Seorang lelaki cedera di kepala selepas dibelasah orang awam yang menangkapnya kerana mencuri kereta di Pasar Besar Alor Setar, hari ini.

Lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan berjaya masuk ke dalam kereta Honda Accord milik mangsa menggunakan ‘allen key’ untuk menghidupkan enjin sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, kejadian 10.40 pagi itu disedari pemiliknya apabila mendapati kereta hilang di tempat letak kereta sebelum ternampak kenderaan terbabit dipandu suspek, tidak jauh dari situ.

Berikutan itu, orang awam dan peniaga yang terdengar jeritan mangsa berusia 23 tahun serta isterinya turut membantu mengejar kereta yang dipandu lelaki itu yang terkandas dalam kesesakan.

Suspek yang cuba melarikan diri kemudian melanggar bahagian belakang kereta lain sebelum bertindak keluar, tetapi ditangkap dan dibelasah orang awam.

Lelaki itu yang mengalami kecederaan di kepala diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian, berkata pihaknya merampas sebatang penukul besi, satu spanar berbentuk L dan satu ‘allen key’ daripada suspek.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");