Isu Panas

Pas boleh menang di Kelantan PRU14

KOTA BHARU – Pas dijangka tidak akan menghadapi banyak masalah untuk terus memerintah di Kelantan, berpandukan keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang mana memperlihatkan Parti Amanah Negara (Amanah) gagal dapat sokongan kuat pengundi Melayu.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, pengundi bukan Melayu yang menjadi penyumbang utama kepada undi calon Amanah di dua PRK berkenaan adalah sangat kecil di Kelantan.

“Jadi berdasarkan faktor ini dapat diandaikan bahawa Amanah tidak akan mampu memecahkan dengan signifikan undi Pas. Berdasarkan kecenderungan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga, isu nasional seperti 1MDB tidak akan menjadi pertimbangan utama para pengundi berbanding isu tempatan.

“Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan Datuk Seri Shafie Apdal dari Umno juga tidak dijangka memberi kesan kepada perimbangan kuasa di Kelantan.

“Bagaimanapun, berbanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang Pas bukan menjadi kerajaan negeri, pemimpin Umno dan Amanah mempunyai lambakan isu tempatan yang boleh digunakan ke atas Pas di Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, jika Umno dan Amanah mahir menggunakan isu-isu ini dan jika Amanah berjaya menarik bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa serta beberapa wakil rakyat Pas lain menyertai Amanah, maka kemungkinan besar Umno dan Amanah menjadi ancaman lebih serius kepada Pas.

Beliau juga berkata, jika isu-isu tempatan mampu mencetuskan satu gelombang penolakan ke atas Pas di Kelantan, tidak mustahil peralihan kuasa boleh berlaku di Kelantan.

“Jika pun ia tidak cukup kuat untuk membolehkan Amanah menguasai Kelantan, undi besar yang bakal dicuri olehnya dari Pas mungkin akan menyaksikan Kelantan jatuh ke tangan BN atau paling tidak pun menyaksikan Pas sekadar menang tipis sahaja di negeri itu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");