Berita Hari Ini

Pelan transformasi PBT akan dimulakan

KOTA TINGGI – Pelan Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan menjadi pendekatan baharu dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, akan dimulakan di 98 PBT daripada keseluruhan 148
PBT di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pelaksanaan pelan yang menerapkan enam teras utama itu, kini di peringkat akhir.

“Kami bukan sahaja memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai Pelan Transformasi PBT terbabit tetapi kami turut ke peringkat kepimpinan PBT iaitu Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) PBT supaya mereka tahu dan maklum mengenai pelan yang kami akan lancarkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama YDP Majlis Daerah, Perbandaran dan Setiausaha PBT Negeri Johor, di sini, malam tadi.

Halimah berkata bengkel bersama pihak PBT, badan bukan kerajaan, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) serta persatuan penduduk sudah diadakan bagi berbincang dan bertanyakan pendapat dalam mewujudkan pelan yang dapat membantu PBT mengurus tadbir berkaitan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata selain mesyuarat penuh PBT menerusi ‘live streaming’, sesi dewan perbandaran yang melibatkan Datuk Bandar mahupun YDP turun berjumpa rakyat di kawasan perumahan seperti flet bersama Ketua Jabatan juga sudah boleh dilaksanakan PBT tanpa perlu menunggu pelan itu dilancarkan.

Halimah berkata PBT kini sudah tidak boleh lagi menjauhkan diri daripada masalah dan menunggu rakyat membawa masalah kepada mereka untuk diselesaikan.

“Sudah tiba masanya, PBT turun kepada rakyat supaya kami boleh mendengar masalah rakyat. Mungkin di peringkat awal ini, ia sesuatu yang baharu menyebabkan rakyat menggunakan kesempatan itu sepenuhnya untuk menghentam PBT, tetapi PBT kena terimanya dengan hati terbuka.

“Namun, apabila ia sudah terbiasa buat masyarakat, mereka akan rasa dekat dengan PBT dan PBT dapat melaksanakan peranan mereka untuk menyelesaikan masalah,” katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Baharu, A Rahim Nin berkata Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) amat mengalu-alukan langkah melaksanakan pelan tersebut.

Menurut A Rahim, pelan terbabit selari dengan apa yang dirancang MBJB dan antara lain dapat mendekatkan PBT dengan rakyat khususnya pembayar cukai.

“Kami amat mengalu-alukan pelaksanaan pelan ini dan ia akan disekalikan dengan Pelan Strategik MBJB sehingga 2020. Terima kasih kepada kementerian kerana membuat garis panduan yang jelas dan ia juga akan dijadikan landasan sehingga 2020 yang akan menantikan bandar raya Johor Baharu menjadi bandar raya bertaraf antarabangsa,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");