Sukan Hari Ini

Popov beri peluang sekali lagi

VELIZAR Popov memberi peluang sekali lagi kepada Cameron Watson dan Diogo Ferreira mempamerkan kehebatan sekiranya mahu menyertai Kelantan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) yang dibuka ketika ini. Lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Ketua Jurulatih Kelantan itu tampak belum berpuas hati dengan persembahan sederhana dua pemain import dari Australia itu ketika pasukannya terikat 1-1 dengan Perlis dalam aksi persahabatan di Kota Bharu, malam kelmarin.

Menurutnya, Ferreira, 27, dan Watson, 29, masing-masing beraksi selaku pemain tengah bertahan akan diturunkan dalam pertemuan menentang skuad Piala Presiden Kelantan pada 4 Julai ini setelah aksi persahabatan berdepan PKNS FC dibatalkan.

“Ya, sudah pasti (beri peluang) kerana mereka baharu dua hari di sini (Kota Bharu) dan baharu dua kali menjalani latihan. Diogo (Ferreira) nampak bagus dalam babak kedua dan dia akan menerima peluang itu, saya juga akan lihat Cameron (Watson) sekali lagi.

“Kedua-dua pemain itu beraksi dalam Liga-A (Australia), bermakna liga mereka lebih bagus berbanding di sini (Malaysia). Secara teorinya, sepatutnya mereka tidak ada masalah bermain di sini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Dalam aksi persahabatan itu, Kelantan dikejutkan jaringan awal Perlis menerusi sepakan penalti Muamer Svraka pada minit ke-35 namun Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyelamatkan maruah pasukannya menerusi gol penyamaan (m-56).

Kelantan kini memburu seorang lagi pemain import bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Jonatan Lucca (Brazil) selepas Wander Luiz Bitencourt Junior menandatangani kontrak menggantikan Dramane Troare (Mali), baru-baru ini.

Jurulatih kelahiran Bulgaria itu mengakui dia belum berputus asa walaupun usahanya mencari pemain import berkualiti di bahagian tengah pasukannya menemui jalan buntu setakat ini.

“Amat jelas, Kelantan adalah tempat (pasukan) paling sukar untuk pemain import menyesuaikan diri. Jika anda tanya apa sebabnya, saya sendiri pun tidak tahu. Ramai pemain asing yang bagus gagal mendapat tempat di sini.

“Tetapi saya yakin kita akan temui pengganti Lucca di posisi tengah. Saya sedar Kelantan tidak berapa bagus di posisi itu dan kita perlukan pemain yang bukan sahaja boleh berlari ke atas dan ke bawah dan memenangi bola tetapi juga menjadi penyelamat kepada pasukan ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");