Sukan Hari Ini

Popov ceria dalam kecewa

VELIZAR Popov hanya menunjukkan sedikit riak ceria selepas Kelantan melakarkan kemenangan 1-0 ke atas Pahang dalam aksi pembuka tirai Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Pengendali Kelantan itu ternyata tidak gembira dengan kemenangan tersebut kerana beranggapan pasukannya bukan sahaja layak memenangi pertemuan itu malah sepatutnya mencetak jaringan lebih daripada satu gol ke atas skuad Tok Gajah.

“Anda kena tahu, dalam bola sepak kemenangan adalah segala-galanya. Memang menjadi sasaran kami untuk menang perlawanan malam ini kerana ia satu permulaan baik untuk pasukan terus mempamerkan peningkatan dalam aksi seterusnya.

“Tetapi ia juga mungkin berkisar faktor nasib kerana kami sepatutnya memuktamadkan keputusan perlawanan ini lebih awal dengan kemenangan 2-0 setelah mempunyai deretan peluang terhidang,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan.

Pada pertemuan itu, Kelantan terpaksa bergantung pada jaringan tunggal Wan Zaharulnizam Wan Zakaria seawal minit ketiga untuk merakamkan kemenangan berharga ke atas skuad Razip Ismail di hadapan hampir 13,000 penyokong mereka.

Jurulatih kelahiran Bulgaria itu turut berang dengan persembahan barisan pemainnya yang gagal beraksi mengikut taktikal disiplin ditetapkan sehingga membuka ruang kepada pelawat mendominasi permainan pada penghujung perlawanan itu.

“Seperti saya beritahu sebelum ini, Pahang sebuah pasukan kuat dan memiliki ramai pemain muda serta import berkualiti. Kami hanya mampu menguasai permainan sepanjang 70 minit manakala baki 20 minit terakhir milik pasukan lawan.

“Tetapi apabila anda mensia-siakan banyak peluang dan lawan pula menyempurnakan hanya satu peluang terbaik mereka dengan menjaringkan gol untuk menjadikan keputusan 1-1, ia langsung tidak memberi apa-apa makna kepada kami,” katanya.

Pada masa sama, jurulatih berusia 40 tahun itu turut meluahkan kekecewaan terhadap mutu permainan anak didiknya yang disifatkan terlalu jauh daripada jangkauannya selepas mengambil alih tugas melatih pasukan itu daripada K Devan, dua bulan lalu.

“Kelantan tidak ada pemain yang boleh bermain hantaran jauh kerana ia ternyata sukar bagi pasukan ini. Saya perlu menyambung kerja untuk membaiki kelemahan ini, kami tidak boleh bermain 60 hingga 70 minit kerana permainan sebenar adalah 90 minit.

“Saya beritahu anda, apabila pertama kali datang ke sini, matlamat utama saya adalah memberi keselesaan kepada pemain beraksi mengikut acuan saya mahukan. Percayalah, ia bukan mudah mengatasi masalah ini dalam masa sebulan atau 45 hari kerana mereka sudah sebati bermain dengan cara seperti itu (hantaran jauh) empat hingga lima tahun lalu,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");