Berita Hari Ini

Putrajaya antara kawasan larangan terbangkan dron

SEPANG: Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya diisytiharkan sebagai salah satu kawasan larangan penggunaan atau penerbangan dron selepas mengambil kira faktor keselamatan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman, berkata di Putrajaya terdapat pelbagai kementerian yang mentadbir urus negara, selain menempatkan kediaman Perdana Menteri dan timbalannya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Putrajaya adalah ‘kawasan larangan penerbangan’ dron.

“Jadi, orang ramai tidak boleh sewenang-wenangnya menerbangkan dron atau helikopter kawalan jauh tanpa mendapat keizinan terlebih dulu.

“Jika masih ada yang mahu berbuat demikian, mereka perlu membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan walaupun diluluskan, mereka tetap perlu menunggu kelulusan DCA.

“Ini kerana dron hanya dibenar diterbangkan pada ketinggian ditetapkan iaitu tidak boleh melepasi bangunan paling tinggi di Putrajaya kerana ruang udaranya adalah laluan pesawat untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Persidangan Bersama Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) untuk Memperkukuhkan Keselamatan dan Kemudahan Kargo Udara, di sini hari ini.

Azharuddin berkata, menerbangkan dron juga tidak dibenarkan ketika majlis atau acara diadakan di Putrajaya.

Selain Putrajaya, beberapa tempat lain turut diisytiharkan kawasan larangan menerbangkan dron termasuk ruang udara di Parlimen, Istana Negara, persekitaran KLCC dan kawasan lapangan terbang.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");