Isu Panas

RM1.8j dikumpul untuk Guan Eng

GEORGETOWN – Sebanyak RM1.8 juta berjaya dikumpul sehingga petang semalam sempena kutipan kempen Solidariti Bersama Guan Eng.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Wisma DAP, Jalan Rangoon.

Kon Yeow sebelum itu turut menerima sumbangan dana berjumlah RM18,500 daripada wakil Bersih Shanghai dan Bersih Suzhou, China bagi kempen yang sama.

“Terima kasih kepada semua pihak-pihak yang menyumbang dan menyokong kempen ini,” katanya ringkas.

30 Jun lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Guan Eng, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town pada 18 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Guan Eng kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Sejurus itu, barisan pimpinan DAP Pulau Pinang umumkan kempen kutipan bagi wang ikat jamin tersebut.

Kempen itu merayu orang ramai menderma RM10 setiap orang bagi menggantikan dana parti.

Sejumlah RM890,000 digunakan dari akaun DAP Pulau Pinang, manakala RM110,000 disumbang oleh Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir berkata, Kerajaan Pulau Pinang bertegas tiada pembubaran Dun akan dilakukan.

Tegasnya, perkara itu adalah isu lapuk dan sudah basi.

“Saya tegaskan tiada sebarang keputusan dibuat bagi mempertimbang isu itu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");