Jenayah

Rumah disewa hangus terbakar

SUNGAI RETANG – Saat keluarga lain masih meriah menyambut Aidilfitri dengan penganjuran rumah terbuka, tiga sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus terbakar, malam kelmarin.

Mangsa, Basir Muhd Yusof, 29, berkata, ketika kejadian, dia, isteri, Norhashimah Abu Hassan, 26 dan anak mereka, Nor Syashaliyana Najwa Basir, 4, di rumah jiran menghadiri kenduri tahlil.

Menurutnya, sekitar jam 10.30 malam, dia menerima panggilan telefon daripada seorang rakan memaklumkan rumah yang disewanya terbakar.

“Saya, isteri dan anak terus tinggalkan majlis dan bergegas balik rumah tapi saya tengok api dah marak,” katanya.

Basir yang kini menumpang di rumah adik iparnya, menganggarkan jumlah kerugian yang dialami sekitar RM80,000.

Dia yang juga seorang bomba sukarela dan bekerja sebagai pemotong rumput Road Care (M) Sdn Bhd, dikatakan baru sahaja menyewa di rumah tersebut kira-kira setahun lalu.

“Setakat ini saya tak ada apa-apa perancangan. Saya difahamkan penduduk ada lancarkan tabung derma kilat selain turut mendermakan pakaian kepada kami sekeluarga.

“Saya amat berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan,” katanya.

Difahamkan juga rumah yang terletak di Jalan Pilai, Felda Sungai Retang itu, milik peneroka tanah rancangan tersebut, Abdul Rashid Hassan, 65.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Abd Malib Abd Rani berkata, Abdul Rashid akan menerima skim pinjaman tanpa faedah untuk membina rumah sebanyak RM40,000 bagi membina baharu rumah terbabit.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");