Membawang Hari Ini

‘Saya dah jangka…’

Selepas menjuarai program Dangdut Star, kehadiran Fitri Hiswady semakin mencuri tumpuan khalayak dan penggiat seni tempatan.

Kejayaannya mengetepikan penyanyi dangdut era 90-an, Elda atau Elda Susanty Abdul Malik, 34, pada konsert akhir Dangdut Star yang berlangsung pada awal Jun lalu satu pencapaian membanggakan.

Bagaimanapun, laluan anak jati kelahiran Taiping, Perak ini tidak semudah disangka. Baru hendak mencipta nama, dia terpalit kontroversi apabila dikatakan mula lupa diri.

Fitri, 26, yang ditemui di majlis Ambang Aidilfitri di pekarangan Kota Dame, Damansara baru-baru ini mengakui terkejut dan menafikan dakwaan itu.

Kata Fitri, tuduhan dia mendabik dada sudah dijangka dan ia biasa dilalui pendatang baru sepertinya.

“Terus terang, perkara ini sudah saya jangka akan berlaku sebelum memenangi pertandingan Dangdut Star lagi.

“Mungkin ada yang cemburu dan cuba menjatuhkan karier seni saya yang baru hendak bermula,” katanya.

Tegas Fitri lagi, dia sedar siapa dirinya dan tidak akan sesekali melakukan perkara yang boleh menjatuhkan kariernya. Apatah lagi bukan mudah untuknya berada di kedudukan sekarang, macam-macam dugaan serta onak duri terpaksa ditempuh.

“Mungkin inilah ujian awal yang perlu saya lalui untuk bergelar artis. Sepanjang menyertai pertandingan nyanyian, saya layan peminat selagi terdaya. Tiada istilah sombong atau lupa diri kerana saya terhutang budi dengan mereka. Tanpa sokongan mereka, siapalah saya.

“Setakat ini, saya belum pernah mengecewakan mana-mana individu yang mahu bergambar atau berkawan,” katanya yang pernah menjuarai pertandingan Bintang Asli RTM 2014 dan peserta keempat teratas program D’Academy Asia Indosiar 2015.

Diajak bercerita mengenai impak populariti yang diterima selepas menjuarai program itu, Fitri mengakui kariernya semakin berkembang dan rancak memenuhi undangan persembahan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Dangdut Star mengubah hidup saya sedikit demi sedikit.

“Jika tiada aral melintang, saya akan melancarkan single ciptaan DJ Fuzz dalam waktu terdekat,” katanya yang berharap kehadirannya dalam industri seni tanah air diterima ramai.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");