Sukan Hari Ini

Tetap bangga

Marseille: Poland membuktikan di saingan Euro 2016 mereka mampu bersaing dengan pasukan hebat, namun masih banyak perlu dipertingkatkan untuk kempen seterusnya, kata pengendalinya, Adam Nawalka (gambar).

Poland yang tidak pernah memenangi mana-mana kejohanan Eropah sebelum ini, menggigit jari apabila tewas kepada Portugal menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi suku akhir di Marseille.

Begitupun, pencapaian Poland sepanjang edisi kali ini tetap membanggakan apabila berjaya mengelak sebarang kekalahan dalam lima aksi dengan dua kali dibolosi, selain kejayaan terbesar mengikat juara dunia Jerman tanpa jaringan.

“Ia pastinya detik sukar buat kami. Pemain terlalu mengharapkan kemenangan dalam perlawanan ini.

“Kami tidak pernah kalah dalam aksi sebelum ini dan mempunyai peluang hari ini.

“Tapi kami perlu mempertingkatkan tahap permainan dan lebih bersedia di masa depan,” kata Nawalka kepada pemberita.

Poland gagal melepasi peringkat kumpulan ketika menjadi tuan rumah bersama pada Euro 2012 dan kali ini mereka tampil agak berbeza sejak pasukan itu meraih tempat ketiga pada saingan Piala Dunia pada tahun 1974 dan 1982.

Ditanya sama ada pasukannya akan kembali menjadi kuasa utama Eropah, Nawalka berkata,”Saya harap begitu. Kami membuktikan kami semakin baik dan memperagakan aksi bola sepak menarik.

“Daripada kejohanan ini, kami berjaya melahirkan era baru di samping menambahkan harapan yang tinggi buat penyokong kami,” katanya.

Perasaan itu turut disokong oleh tonggak pertahanan tengah, Kamil Glik.

“Terdapat banyak perkara positif daripada kejohanan ini. Kami mahu menjadikan pengalaman di Euro kali ini sebagai sesuatu yang positif untuk kami menempuh pusingan kelayakan Piala Dunia nanti,” katanya.

Selepas kegagalan Robert Lewandowski menjaringkan gol dalam tujuh aksi, ketua pasukannya itu berjaya membalas kepercayaan Nawalka apabila dia meletakkan pasukannya mendahului seawal minit kedua perlawanan.

“Lewandowski masih lagi pemain penting buat kami. Dia memberi motivasi kepada pasukan dan seorang pemain contoh yang juga ketua pasukan.

“Kejohanan ini baik untuk kami dan dia sentiasa menjadi sebahagian daripada pasukan,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");